AM > BERITA

SULTAN PAHANG BERKENAN RASMI PUSAT ALAMI CYTOPEUTICS

26/06/2024 02:54 PM

CYBERJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan Pusat Alami Cytopeutics di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.

Pusat Alami Cytopeutics dibuka untuk menambah pengetahuan saintifik kepada orang ramai khususnya golongan muda dalam penyelidikan bidang perubatan.

Selain itu, ia bertujuan memberi inspirasi untuk berinovasi dalam bidang bioteknologi berasaskan sel dan gen terapi bagi mencari rawatan alternatif baharu untuk penyakit yang masih belum ada penawar.

Al-Sultan Abdullah dalam titah perasmian menzahirkan rasa kagum dan berharap pusat itu memberi impak besar kepada rakyat Malaysia dalam bidang bioteknologi agar kefahaman mengenainya dapat dijelaskan dan diperluas dengan lebih terperinci.

"Ini juga adalah satu usaha atau 'game changer' (pengubah keadaan) bagi mana-mana mereka yang berusia lebih 65 tahun ke atas untuk hidup lebih sihat," titah baginda.

Sultan Pahang turut berharap agar kejayaan yang bakal dicapai pada masa akan datang tidak meminggirkan kelompok marhaen.

"Bantulah mereka yang memerlukan khususnya golongan yang kurang berkemampuan dan ini sekali gus dapat membina kumpulan rakyat yang lebih sihat.

"Jangan semata-mata (rawatan) untuk kumpulan elit sahaja, jadikan ia sebagai sumber perubatan bagi semua pihak. Semoga terus maju dan dikenali hingga peringkat dunia seterusnya dapat melahirkan lebih ramai saintis dan pakar dalam bidang ini," titah baginda.

Sementara itu, sel stem mesenkimal tali pusat manusia daripada Cytopeutics atau hUC-MSC adalah yang pertama diiktiraf sebagai stem halal di dunia dan Cytopeutics juga merupakan kumpulan pertama di Asia yang telah memperoleh pelbagai paten Amerika Syarikat untuk rawatan sel stem mesenkimal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan