AM > BERITA

KEMUDAHAN PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA MAMPU TINGKATKAN USAHA SARAWAK GUNA TEKNOLOGI BAHARU

26/06/2024 07:13 PM

KUCHING, 26 Jun (Bernama) -- Penyediaan kemudahan bertaraf dunia dalam sektor pendidikan Sarawak akan melonjakkan impian negeri untuk menerima pakai pengetahuan dan teknologi terkini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.

Beliau berkata rakyat Sarawak digesa meneroka dan melengkapkan diri dengan perkembangan global semasa bagi merealisasikan agenda itu.

“Menjadi hasrat kerajaan Sarawak untuk menyediakan persekitaran kemudahan bertaraf dunia agar pelajar mempunyai suasana yang baik untuk belajar bersungguh-sungguh dalam meneroka ilmu baharu pada masa yang sama meningkatkan diri dengan ilmu bagi menghadapi era pembangunan baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Kampus Universiti Teknologi Swinburne Sarawak (Swinburne Sarawak) yang dinaik taraf di sini, hari ini.

Abang Johari berkata melalui kemudahan yang dinaik taraf itu, siswazah Swinburne Sarawak boleh memainkan peranan untuk mencapai dasar pendigitalan negeri.

“Pada 2026, saya perlu menjaga rakyat Sarawak dengan menyediakan pendidikan tinggi secara percuma di beberapa universiti, termasuk Swinburne… Saya harap generasi baharu akan merebut peluang baharu ini untuk melengkapkan diri dengan perspektif global dan transformasi ekonomi,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dalam ucapannya berkata naik taraf kampus bernilai RM50 juta itu bermula pada 2019, bertujuan menampung populasi pelajar universiti yang semakin meningkat dengan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik.

Beliau berkata universiti itu menjangkakan peningkatan populasi kepada 5,000 pelajar dalam beberapa tahun akan datang.

“Jumlah pelajar telah berkembang dengan pesat sejak kebelakangan ini iaitu daripada hanya sekitar ratusan pelajar kepada kira-kira 3,500 kini, termasuk pelajar antarabangsa dari lebih 50 negara,” katanya.

Projek naik taraf itu melibatkan Hab Pelajar baharu, Dewan Makanan, Perkampungan Pelajar dan Atrium Borneo, termasuk sambungan ke perpustakaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan