AM > BERITA

KDN BANGUNKAN PELAN INDUK KAWALAN KESELAMATAN SEMPADAN

27/06/2024 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang membangunkan Pelan Induk KDN Berhubung Kawalan Keselamatan Sempadan Negara sebagai usaha mengukuhkan lagi keselamatan di sempadan Malaysia.

KDN dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan cadangan rangka pelan induk komprehensif itu adalah melalui pembangunan strategi dan pelan tindakan bersepadu melibatkan kementerian dan agensi kerajaan lain yang terlibat dalam kawalan sempadan negara.

“Pelan induk yang dirangka ini akan dilaksanakan berdasarkan kepada dua fokus strategi iaitu memperkukuh operasi kawalan keselamatan sempadan negara dan memperkasa kapasiti kawalan sempadan negara.

“Fokus strategi yang dirangka untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan negara akan dilaksanakan secara pemusatan kepada lima sempadan hadapan negara iaitu Utara (Kedah, Perlis dan Perak); Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang); Selatan (Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor);  Sabah dan Sarawak,” menurut KDN.

Ia bagi menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai langkah memastikan bidang kuasa dan kerjasama di antara pihak berkuasa terlibat untuk membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan larangan yang berleluasa di sempadan Indonesia-Sarawak.

Selain itu KDN juga kini dalam tindakan pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS) sebagai usaha memperkasakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan keselamatan sempadan.

“Pembangunan sistem NBCS yang dicadangkan ini akan dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini dan teknologi AI bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa secara berterusan dalam melindungi sempadan darat dan maritim Malaysia demi keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara.

“Penggunaan teknologi AI ini akan membolehkan pengesahan objek dilaksanakan secara efektif di samping dapat mengelakkan penggera palsu serta dapat membantu pasukan keselamatan dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan keselamatan di sempadan,” menurut KDN.

Kajian Kebolehlaksanaan NBCS di bawah peruntukan Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia ke-12 itu dilaksanakan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) melalui pelantikan pasukan penyelidik dan pakar universiti awam bermula 7 Sept tahun lepas dengan tempoh kajian selama 14 bulan yang dijangka tamat pada November ini.

Dalam jawapan berasingan, KDN memaklumkan jumlah permohonan kewarganegaraan yang diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tempoh Januari hingga 10 Jun lepas adalah sebanyak 3,030 permohonan dan diproses mengikut prosedur.

Ia bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu jumlah permohonan kewarganegaraan yang telah diproses, tertunggak dan berjaya menerima kelulusan sejak Januari.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan