AM > BERITA

KKM MAHU TINGKATKAN JUMLAH JURURAWAT LELAKI

27/06/2024 12:39 PM

PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mahu meningkatkan jumlah jururawat lelaki di negara ini kepada 10 peratus seiring keperluan sektor kejururawatan dan perkembangan teknologi serta peralatan perubatan moden ketika ini. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pada masa ini jumlah jururawat lelaki hanya 2,823 orang iaitu empat peratus daripada 70,653 jururawat yang ada di KKM.

“Industri kejururawatan di Malaysia sememangnya didominasi oleh wanita. Penglibatan lelaki agak kurang mungkin kerana mereka tidak lihat terdapat peluang pekerjaan yang luas dalam sektor kejururawatan.

“Proses pemodenan dan banyak peralatan perubatan juga perlukan penglibatan jururawat lelaki,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersama Kejururawatan Malaysia-Singapura ke-27 di sini hari ini.

Beliau berkata stigma bidang kejururawatan hanya untuk golongan wanita perlu dihapuskan kerana perkhidmatan jururawat lelaki amat diperlukan ketika ini.

“Di negara maju dan negara jiran, kita dapat lihat keperluan jururawat lelaki itu ada dan banyak. Dalam sektor kejururawatan di negara majoriti penduduk Islam, perkhidmatan jururawat lelaki ini amat diperlukan,” katanya.

Ditanya sekiranya diwujudkan pengambilan khas jururawat lelaki, Lukanisman berkata pengambilan khas berkenaan tidak akan diadakan, sebaliknya KKM akan meningkatkan usaha bagi menarik minat golongan lelaki menyertai sektor kejururawatan.

“Kita kena lihat pengambilan jururawat berdasarkan meritokrasi dan juga minat tetapi kita akan lebih ke arah untuk menguar-uarkan daripada peringkat sekolah lagi bahawa industri ini terbuka dan tidak bias gender,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata 168 jururawat luar negara telah diluluskan untuk berkhidmat di hospital dan klinik swasta di seluruh negara ketika ini.

“Mereka sedang melalui proses Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan setelah selesai, mereka dibenarkan berkhidmat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan