AM > BERITA

PINDAAN AKTA PERUBATAN 1971 DIBENTANG MINGGU KEEMPAT SIDANG DEWAN RAKYAT

27/06/2024 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dijangka akan dibentang dan dibahaskan pada minggu keempat sidang Dewan Rakyat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pindaan itu bagi menyelesaikan isu  ketidakaturan berkaitan latihan kepakaran perubatan di Malaysia yang terdiri daripada Program Sarjana Perubatan dan Latihan Kepakaran Laluan Paralel.

“Sebanyak 120 Program Sarjana Perubatan dan 14 bidang kepakaran bagi Latihan Kepakaran Laluan Paralel semuanya akan dapat kita letakkan keteraturan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai sama ada kerajaan bercadang menangguhkan pembentangan pindaan Akta 50 dan merujuknya terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan.

Dzulkefly berkata terdapat 6,933 pegawai perubatan yang mendapat tajaan menjalani latihan kepakaran perubatan dengan 6,142 daripadanya menjalani Program Sarjana Perubatan dan 791 menjalani Latihan Kepakaran Laluan Paralel.

Manakala 2,622 pegawai perubatan pula menjalani Latihan Kepakaran Laluan Paralel tanpa tajaan.

“Anggaran kos perbelanjaan bagi setahun untuk penajaan Program Sarjana Perubatan adalah RM142.4 juta manakala penajaan bagi Latihan Kepakaran Laluan Paralel berjumlah RM10 juta,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata Latihan Kepakaran Laluan Paralel ialah latihan kepakaran dikendalikan  Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menggunakan kelulusan kepakaran profesional yang dianugerahkan institusi antarabangsa.

Sementara kepakaran laluan Sarjana Perubatan pula adalah latihan dikendalikan institusi pendidikan tinggi tempatan dengan pelatih mendapat kelulusan yang dianugerahkan institusi berkenaan.

“Namun begitu, bagi kedua-dua laluan ini, latihan klinikal dijalankan kebanyakannya di fasiliti KKM seperti hospital, klinik kesihatan dan pejabat kesihatan daerah,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Ahmad Yunus mengenai perbezaan program latihan kepakaran universiti tempatan dan program latihan kepakaran luar negara khususnya bagi bidang kardiotorasik serta anggaran kos dibelanjakan untuk latihan kepakaran tajaan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan