AM > BERITA

TIADA BUKTI THIJARI DIGODAM, PENDEPOSIT HILANG WANG AKIBAT DITIPU - ZULKIFLI

27/06/2024 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Tiada bukti yang mengesahkan perkhidmatan aplikasi THiJARI milik Lembaga Tabung Haji (TH) telah digodam sehingga menyebabkan pendeposit kehilangan wang simpanan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata siasatan TH sebaliknya mendapati pendeposit yang kehilangan wang dalam akaun disebabkan menjadi mangsa kepada aktiviti scammer.

“Mereka diperdaya melalui pelbagai cara antaranya tawaran pulangan pelaburan yang tinggi, menekan pautan fail aplikasi (APK), memberi kata laluan dan kod TAC (kod pengesahan transaksi) semasa dihubungi scammer,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai kehilangan wang dalam akaun simpanan TH.

Zulkifli berkata setakat 31 Mei lepas, TH menerima 222 aduan pendeposit yang menjadi mangsa penipuan dengan jumlah kerugian sebanyak RM609,464.

“TH sentiasa berkerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi menyiasat sebarang kes yang dilaporkan.

“Namun begitu, sekiranya kehilangan wang itu adalah akibat kecuaian pendeposit sendiri dalam melindungi akuan yang membolehkan scammer melakukan transaksi, maka TH tidak boleh membuat ganti rugi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan