AM > BERITA

NAIK TARAF KEMUDAHAN KTM IPOH MULA HUJUNG TAHUN INI - DATUK BANDAR

27/06/2024 11:00 PM

IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) akan bekerjasama bagi melaksanakan usaha menaik taraf kemudahan di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh yang dijangka bermula penghujung tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata peruntukan bagi projek naik taraf itu akan diperolehi melalui dana swasta dan melibatkan kemudahan asas termasuk bangunan Hotel Majestic yang telah terbiar sejak puluhan tahun lalu.

“Buat masa ini, RAC memaklumkan kepada kita bahawa proses melantik kontraktor untuk projek itu akan dibuat pada Ogos ini dan bajet keseluruhan turut dikawal selia oleh pihak RAC.

“Untuk Hotel Majestic, ia akan dibaik pulih sepenuhnya, dan jangkaan kita ia akan dijadikan sebagai hotel untuk penginapan para pelancong yang datang ke Ipoh untuk bercuti atau melakukan apa jua urusan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI di Dewan Mesyuarat MBI di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata MBI bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha memelihara dan memulihara bangunan warisan terbiar bagi dijadikan sebagai produk pelancongan di bandar raya ini.

Beliau berkata pendekatan itu dilihat lebih realisitik kerana kos baik pulih atau pembangunan sesebuah bangunan itu memerlukan dana yang agak besar.

“Harapan tak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pihak kita semata-mata kerana terdapat banyak sektor atau bahagian lain yang turut memerlukan bantuan serta sokongan daripada MBI.

“Jadi saya fikir, kerjasama merupakan satu contoh kaedah yang realistik. Apabila ada kerjasama, ia bukan hanya menjimatkan kos malah pergerakan ekonomi itu berlaku dan tidak hanya membabitkan satu-satu pihak sahaja melalui subsidi sedia ada,” katanya.

Pada 29 Mei lalu, laporan kajian dilakukan Persatuan Warisan Perak mendapati terdapat 39 bangunan bersejarah di Ipoh telah dikategorikan sebagai rosak dan musnah melibatkan Rumah 1903 di Kampung Kuchai, Pawagam Majestic di Jalan CM Yusuf dan Pejabat Pos Lama Ipoh di Jalan Sultan Iskandar.

Manakala lapan bangunan dalam bandar raya ini dikategorikan sebagai terbiar antaranya, kediaman Toh Domba di Kampung Kepayang, Pejabat Warta Kinta di Jalan Datoh, Kubu Perlindungan Bawah Tanah yang terletak di Lapangan Terbang Ipoh dan Masjid Papan yang dibina oleh Raja Bilah sekitar 1884 lalu.

Dalam pada itu, Rumaizi optimis pembangunan bidang pelancongan secara komprehensif bukan hanya mampu membendung kemiskinan malah merubah imej bandar raya Ipoh yang lebih dikenali sebagai ‘bandar pencen’.

Beliau berkata selain mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, bidang berkenaan juga dilihat berpotensi menjana pendapatan kepada golongan B40 yang mendiami bandar ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan