AM > BERITA

NOOR FARIDA IKON UNDANG-UNDANG YANG BANYAK BERJASA KEPADA NEGARA

28/06/2024 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) --  Pemergian bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Noor Farida Ariffin, 76, hari ini cukup memberi kesan dalam kalangan pengamal undang-undang dan badan kehakiman yang menyifatkan Allahyarhamah sebagai ikon undang-undang atas jasa yang dicurahkan sepanjang kariernya dalam bidang berkenaan.

Peguam Negara Datuk Ahmad Terriruddin Mohd Salleh berkata Noor Farida yang memulakan kerjayanya di Jabatan Peguam Negara pada 1971 merupakan seorang pegawai undang-undang yang sangat cemerlang serta disegani oleh warga jabatan.

“Kecemerlangan arwah di Jabatan Peguam Negara terutama dalam bidang undang-undang antarabangsa telah menjadikan beliau dihormati dan diberi peluang mengembangkan kerjaya di Kementerian Luar Negeri.

“Karier arwah di bawah Kementerian Luar Negeri menjadi sinar kegemilangan buat negara kerana beliau telah memberikan komitmen tinggi dalam arena hubungan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata di sebalik kewibawaan yang ditonjolkan, Noor Faridah cukup disenangi serta dikasihi rakan-rakan sekeliling  kerana keperibadiannya yang mesra, sederhana dan menyenangkan.

“Kerana itu… pemergian Allahyarhamah pastinya suatu kehilangan yang amat dirasai, “ katanya.

Sementara itu peguam Datuk Akberdin Abdul Kader menyifatkan Allahyarhamah Noor Farida seorang yang sangat berprinsip dan lantang menyuarakan isu-isu membabitkan kepentingan negara dan masyarakat.

“Allahyarhamah seorang yang lantang bersuara dengan prinsip “no holds barred approach’ dan ‘fearlessly outspoken’ antaranya dalam isu Pulau Batu Putih. Noor Farida antara yang lantang bersuara untuk menuntut hak negara,” kata peguam itu.

Ketegasan Noor Farida turut dipersetujui peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang menyifatkan Allahyarhamah sebagai tokoh wanita Malaysia yang cukup berjasa dalam sektor diplomatik dan undang-undang.

Sementara itu bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berkata beliau amat menghormati Allahyarhamah disebabkan pandangannya terhadap beberapa isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan kepentingan awam.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang senada dengan pandangan itu menggambarkan Allahyarhamah sebagai seseorang berprinsip dan menjunjung integriti dalam perkhidmatan awam.

Allahyarhamah Noor Farida merupakan seorang daripada pengasas bersama kumpulan bekas penjawat awam kanan G25.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan