AM > BERITA

PEMASANGAN JARING PASTIKAN IKAN ASING TIDAK TERLEPAS KE PERAIRAN UMUM

28/06/2024 04:40 PM

PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Pemasangan jaring pada laluan air keluar di Tasik Biru, Kundang di Rawang, Selangor akan dilaksanakan bagi memastikan ikan patin Chao Praya yang dilepaskan di tasik itu baru-baru ini tidak terlepas ke perairan umum.  

 Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengadakan pertemuan bersama pengurus dan penganjur satu program memancing susulan tular hantaran di Facebook mengenai ikan patin Chao Praya (Pangasius sanitwongsei) yang dilepaskan di tasik berkenaan. 

“Penganjur memaklumkan ikan-ikan tersebut dilepaskan bagi program pertandingan memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru yang akan diadakan pada 29 Jun 2024.

“Jaminan diberi oleh penganjur untuk memasang jaring pada laluan air keluar dari tasik bagi mengelakkan ikan asing terlepas ke perairan umum dan akan bekerjasama dengan DOF serta agensi lain bagi program-program mengeluarkan spesies ikan asing daripada tasik,” menurut kenyataan itu.

DOF memaklumkan penganjur mengakui kekhilafan dan berjanji akan membuat tindakan pembaikan dengan menyalurkan maklumat berkaitan larangan pelepasan ikan asing kepada pengunjung program.

“(Penganjur) juga memberi peringatan kepada peserta memancing untuk tidak melepaskan semula hasil tangkapan ikan asing ke dalam tasik atau sumber air sama ada semasa atau selepas program,” menurut kenyataan itu. 

DOF mengingatkan orang awam atau mana-mana pihak untuk tidak melepaskan anak-anak ikan atau ikan-ikan yang tergolong dalam kategori ikan pemangsa (invasif) atau spesies asing sewenang-wenangnya ke perairan umum, sungai atau tasik.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Selangor Noraisyah Abu Bakar dalam kenyataan sama meminta orang awam atau mana-mana individu untuk berhubung dengan Pejabat Perikanan Negeri atau Daerah bagi mendapatkan khidmat nasihat berkenaan pelepasan ikan.

“DOF juga akan membuat hebahan yang lebih menyeluruh kepada agensi lain serta pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengelakkan isu sebegini terjadi berulang kali,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan