AM > BERITA

ISU LALAT: JPVPP TEGAS, KONSISTEN JALANKAN PENGUATKUASAAN

28/06/2024 06:31 PM

NIBONG TEBAL, 28 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) mengambil tindakan tegas dan konsisten dalam menjalankan penguatkuasaan terhadap pemilik ladang unggas di seluruh negeri ini terutama di Sungai Bakap bagi memastikan tiada masalah lalat.

Pengarahnya Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata ini termasuk mengeluarkan enam kompaun sepanjang tempoh 19 Feb hingga 30 April lepas ke atas ladang unggas (ladang ternakan haiwan spesies burung seperti ayam) yang melakukan kesalahan berkaitan masalah lalat dan berenga (maggot) dalam najis.

"Kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM7,500 bagi kesalahan pertama. Jika masalah yang sama masih berterusan nilai kompaun kedua adalah RM10,000 dan nilai kompaun ketiga adalah RM15,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JPVPP telah mengeluarkan lesen kepada penternak unggas yang menjalankan penternakan melebihi 10,000 ekor dan ke atas pada 19 Feb lepas, melibatkan 187 ladang unggas termasuk 115 ladang di Seberang Perai Selatan (SPS).

"Berdasarkan maklumat kami, dua daripada tiga ladang di kawasan Sungai Bakap mempunyai lesen JPVPP manakala satu lagi ladang pengusahanya memohon lewat jadi kami tangguhkan dulu lesen dan meminta ada pengurusan lalat yang baik baru luluskan lesen," katanya.

Saira Banu berkata selain tindakan kompaun, JPVPP juga telah menasihatkan penternak untuk membuat semburan lalat berjadual terutamanya semasa proses pengeluaran ayam serta melaksanakan pembersihan najis segera.

Beliau berkata JPVPP telah mengenal pasti ladang-ladang unggas yang dikesan sebagai hotspot masalah lalat dan akan terus menjalankan pemantauan ke atas ladang tersebut bagi memastikan pengusahanya mematuhi syarat lesen ditetapkan.

"Enakmen Perladangan Unggas (Pulau Pinang) 2020 dan Peraturan-peraturan Perladangan Unggas (Negeri Pulau Pinang) 2022 telah dikuatkuasakan pada 1 Jan 2024 dan sebelum penguatkuasaan enakmen ini, perundangan ini adalah sepenuhnya di bawah pihak berkuasa tempatan.

"Antara syarat pelesenan utama yang perlu dipatuhi adalah pengurusan sisa unggas dengan baik," katanya.

Semalam media melaporkan masalah lalat sinonim dalam kalangan penduduk yang menetap di Sungai Bakap sejak bertahun lalu dan tidak dapat dihindari.

Biarpun berlaku mengikut musim tertentu namun isu itu tetap merisaukan masyarakat, terutamanya peniaga kecil kerana gangguan lalat dikhuatiri menjejaskan kualiti makanan seterusnya mengundang masalah kesihatan terhadap pelanggan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan