AM > BERITA

PENINGKATAN SIGNIFIKAN KES 'AGE' DI LABUAN, TIADA KLUSTER DIKESAN

28/06/2024 09:26 PM

LABUAN, 28 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Labuan melaporkan peningkatan ketara kes Gastroenteritis Akut (AGE) dengan 96 kes tahun ini berbanding 37 kes dalam tempoh yang sama pada 2023, iaitu peningkatan 159.5 peratus.

Pengarah berkenaan Dr Francis Paul berkata walaupun terdapat peningkatan mendadak ini, tiada kelompok AGE atau wabak keracunan makanan dikesan sehingga minggu Epidemiologi ke-25.

Beliau berkata AGE dicirikan oleh serangan cirit-birit dan/atau muntah secara tiba-tiba, biasanya ditakrifkan sebagai mengalami tiga kali atau lebih serangan tersebut.

“Kejadian ini biasanya berpunca daripada pengambilan air yang tercemar.

“Pemantauan mingguan yang dijalankan oleh Unit Kawalan Kualiti Air Minum (KMAM) Jabatan Kesihatan Labuan mendapati tiada pelanggaran piawaian kualiti air minuman di Labuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut beliau, jabatan itu sedang giat memantau AGE dan penyakit berkaitan yang dilaporkan oleh semua tempat penjagaan kesihatan.

Memandangkan peningkatan itu, Dr Francis menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penularan penyakit itu.

Beliau mengesyorkan supaya minum air bersih, botol atau air masak sahaja; mengekalkan kebersihan diri dan persekitaran; mengelakkan kolam renang awam jika kanak-kanak mengalami cirit-birit; menjaga kanak-kanak yang mengalami cirit-birit di rumah dan tidak membawa ke sekolah atau ke pusat penjagaan kanak-kanak serta segera mendapatkan rawatan perubatan jika gejala timbul.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan