AM > BERITA

RAJA DI HILIR PERAK TITAH PELIHARA, PULIHARA PULAU SEMBILAN, WUJUDKAN PUSAT PENYELIDIKAN

30/06/2024 06:50 PM

LUMUT, 30 Jun (Bernama) -- Sebuah pusat penyelidikan perlu diwujudkan di Pulau Sembilan dalam usaha mengukuhkan lagi pemuliharaan sumber ekosistem marin yang berdepan pelbagai ancaman sama ada melibatkan aktiviti manusia mahupun ancaman semula jadi. 

Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah bertitah kewujudan pusat penyelidikan itu kelak selari dengan hasrat kerajaan bagi memastikan Pulau Sembilan yang memiliki keindahan menakjubkan selain terkenal dengan kekayaan dan kepelbagaian biodiversiti marin terus dipelihara. 

"Negara kita mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang berkaitan biodiversiti, marin dan lain-lain yang berkaitan di peringkat universiti umpamanya, mereka boleh datang ke sini (Pulau Sembilan) untuk mengkaji, memulihara dan memelihara khazanah berharga ini. 

"Kita boleh ambil sampel di Pulau Sembilan kemudian kita biakkan ia di Pangkor sebagai contoh, kemudian kita bawa semula ke sini untuk kita menambah baik ekosistem dan biodiversiti Pulau Sembilan demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi masa hadapan," titah Raja Iskandar Dzurkarnain. 

Raja Iskandar Dzurkarnain bertitah demikian ketika ditemu bual Bernama selepas berangkat melancarkan Program Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Kepulauan Sembilan, dekat sini hari ini.

Raja Iskandar Dzurkarnain turut mengingatkan seluruh rakyat di negeri ini supaya mempunyai kesedaran tinggi dengan sentiasa menjaga serta melindungi habitat dan ekosistem hidupan marin termasuk pemantauan pihak berkuasa terhadap aktiviti menangkap ikan sehingga merosakkan terumbu karang. 

"Sebab itu setakat ini Pulau Sembilan sedang melalui proses konservasi kerana bagi ekosistem terumbu karang yang sudah rosak, ia perlu ditutup kepada semua untuk memberi peluang ia pulih secara semula jadi. Jadi saya harap puliharalah bersama-sama dan ia memerlukan kerjasama semua pihak. 

"Taman Negeri Pulau Sembilan kaya dengan habitat terumbu karang, hidupan marin dan keunikan phytoplankton biru yang dikenali sebagai ‘bluetears’, jika kita tidak pulihara maka berkemungkinan ia akan lenyap," titah Raja Iskandar Dzurkarnain. 

Terdahulu, Raja Iskandar Dzurkarnain menyaksikan 12 tukun tiruan dasar lembut dengan kos RM370,660 dilabuhkan di perairan Kepulauan Sembilan bagi tujuan konservasi serta mengekang aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan tidak mesra sumber khususnya pukat tunda di kawasan perairan pantai. 

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.26 juta kepada negeri Perak bagi pembangunan dan pemantauan tukun tiruan sepanjang Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) hingga RMK12 (2019 hingga 2024) dan sebanyak 47 unit tukun telah dilabuhkan di empat lokasi yang berbeza di perairan negeri ini. 

Hasil melabuh tukun itu juga dapat memberi manfaat kepada 18,217 orang nelayan di Perak. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan