AM > BERITA

BANJIR: KETUA MENTERI SABAH HAJIJI ARAH SEMUA PBT SENANTIASA BERSIAP SEDIA

01/07/2024 06:16 PM

PENAMPANG, 1 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri untuk senantiasa bersiap-sedia pada musim hujan.

"Pastikan semua longkang dibersihkan. Jangan tunggu hujan baru ambil tindakan. Kita mesti bersedia setiap masa," katanya dalam satu kenyataan selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Pusat Kebudayaan Penampang di sini hari ini.

Ketua Menteri itu berkata kerajaan Sabah dan Persekutuan amat prihatin terhadap mereka yang terjejas akibat banjir kilat dan akan membantu semua mangsa.

“Kerajaan Sabah simpati dengan mereka, jadi kami bersedia memberi bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang berlindung di Pusat Kebudayaan Penampang,” katanya.

Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang turut akan menghulurkan bantuan.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk membantu penduduk yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk walaupun tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Terdahulu, Pegawai Daerah Francis Chong semasa memberikan taklimat kepada Ketua Menteri berkata pada masa ini masih terdapat 67 keluarga membabitkan 165 penduduk berlindung di pusat pemindahan sementara sejak pusat itu diaktifkan pada Ahad petang.

Beliau juga dimaklumkan bahawa 11 kampung di sekitar daerah Penampang ditenggelami air akibat hujan lebat pada Ahad. 

Kemudian, Hajiji diiringi Ewon, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Juri dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Sahari turut meninjau keadaan banjir di Kampung Tuavon dan Hungab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan