AM > BERITA

KAMPUS UNIVERSITI TSUKUBA TINGKATKAN PELUANG PENDIDIKAN UNTUK PELAJAR MALAYSIA

01/07/2024 08:23 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kampus cawangan baharu Universiti Tsukuba di Malaysia akan meningkatkan peluang pendidikan untuk pelajar Malaysia dan mengukuhkan hubungan dua hala Jepun-Malaysia.

Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi, berkata universiti itu dianggap sebagai salah satu institusi pendidikan dan sukan terkemuka di Jepun, dengan menghasilkan tiga pemenang Hadiah Nobel dan 133 pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik.

"(Universiti) Tsukuba boleh menawarkan pelajar Malaysia pelbagai pilihan akademik dan peluang untuk berkembang. Segala-galanya berjalan lancar kerana kampus di sini dijadualkan dibuka pada awal September.

"Kami berbesar hati kerana Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama untuk pengembangan penting ini, menunjukkan hubungan kukuh antara negara kita,” katanya.

Beliau membuat kenyataan itu dalam temu bual dalam program The Nation 'In-Focus: Malaysia-Japan Relations' terbitan Bernama TV di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Takahashi menekankan bahawa permohonan untuk pengambilan September kini dibuka, dengan kohort pertama bermula dengan 40 pelajar dan 14 guru dari Tsukuba.

"Kami bersedia untuk permulaan tahun akademik dan berharap lebih ramai pelajar Malaysia mempertimbangkan untuk memohon. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang universiti," katanya.

Universiti itu yang menawarkan kursus antara disiplin di Kuala Lumpur adalah universiti Jepun pertama yang menubuhkan cawangan luar negara yang memberikan ijazah.

Menurut Universiti Tsukuba, jabatan baharu "School of Transdisciplinary Science Design" menyasarkan pelajar dari Malaysia dan negara jiran, dengan tujuan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk membantu menyelesaikan masalah yang melibatkan negara Asia Tenggara.

Dalam perkembangan lain, Takahashi menyatakan rasa teruja mengenai penyertaan Malaysia pada Ekspo Dunia 2025 yang akan datang di Osaka.

Diplomat berkenaan juga menekankan peluang yang disediakan oleh Ekspo untuk memperkukuh hubungan dua hala.

"Saya berharap pavilion Malaysia dapat mempamerkan pencapaiannya dalam pertanian lestari, kehidupan pintar, pembuatan termaju dan pengurusan alam sekitar.

"Mempunyai pavilion Malaysia yang berjaya adalah sumbangan besar kepada Ekspo. Jika Malaysia berjaya, kita semua berjaya, membawa kepada situasi menang-menang dan pengukuhan lanjut hubungan dua hala kita," katanya.

Takahashi juga menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk memanfaatkan Ekspo untuk mempamerkan teknologi canggih dan memupuk pembelajaran bersama.

"Semua teknologi canggih akan berkumpul di satu tempat, menyediakan peluang besar untuk pembelajaran bersama dan kerjasama," katanya.

Ekspo yang dijadualkan dari 13 April hingga 13 Okt 2025 di Pulau Yumeshima akan menampilkan tema “Designing Future Society for Our Lives”.

Acara ini bertujuan untuk mempamerkan inovasi dan penyelesaian global kepada cabaran moden, dengan fokus pada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan