AM > BERITA

KPKM SALUR RM34.09 JUTA KEPADA MELAKA SOKONG AGENDA PEMBANGUNAN INDUSTRI AGROMAKANAN

01/07/2024 08:42 PM

MELAKA, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan RM34.09 juta kepada Melaka tahun ini bagi menyokong agenda pembangunan industri agromakanan.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM21.3 juta diperuntuk secara terus kepada Melaka di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah ke Arah Keterjaminan Makanan Negara.

“Program kerjasama KPKM dengan kerajaan negeri merupakan inisiatif ‘quick win’ bagi membantu pelaksanaan projek-projek agromakanan negeri antaranya menaik taraf Kompleks Teknologi Pertanian Sungai Udang, Penternakan dan Pembenihan Ikan Air Tawar dan Projek Sekuriti Makanan Pertanian Melaka,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan sesi libat urus bersama peladang, penternak dan nelayan negeri di sini hari ini.

Pada perjumpaan itu, Arthur turut menyampaikan bantuan dan insentif daripada agensi di bawah KPKM berjumlah RM4.73 juta kepada kumpulan sasar.

Peruntukan berkenaan membabitkan Peruntukan Pembangunan Usahawan, Program Pembangunan Persekutuan, Bantuan Tabung Bencana Pertanian, Bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur, Program Produktiviti Nelayan Pantai, Program Bantuan Veterinar serta Projek Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi.

Mengulas tentang larangan penjualan kupang yang diternak di sekitar Jasin sejak April lepas, Arthur berkata langkah itu terpaksa diambil kerajaan bagi mengelak kemudaratan kepada pengguna.

Beliau berkata KPKM sedang berusaha mencari jalan bagi membantu penternak kupang terjejas dengan meneliti bantuan yang boleh dihulurkan kerajaan.

“Penternak ini juga merupakan nelayan dan masih turun ke laut… mereka masih ada pendapatan daripada hasil-hasil tangkapan laut, bagaimanapun kita juga melihat kepada tabung-tabung bencana yang ada untuk membantu penternak ini sebagai satu daripada bentuk mitigasi ketika larangan masih dikuatkuasakan ketika ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan