KUALA TERENGGANU, 13 April (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM60 juta khusus bagi program pembasmian kemiskinan di Terengganu pada tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program itu meliputi usaha peningkatan pendapatan rakyat dan pembaikan perumahan di negeri berkenaan.
“Pelaksanaan program ini akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra MADANI Pelajar Tahfiz Terengganu di Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu di sini hari ini.
Sebanyak 1,500 pelajar, guru dan penggiat sekolah pondok dan tahfiz di Terengganu hadir pada majlis itu. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Pada majlis itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 sekolah tahfiz di Terengganu bagi tahun ini.
Sementara itu, Perdana Menteri mahu sekolah tahfiz dan pondok di seluruh negara untuk menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata ini penting bagi memastikan institusi pendidikan berkenaan tidak ketinggalan dalam arus perkembangan semasa.
Anwar juga menekankan kepentingan penguasaan bahasa lain selain Bahasa Arab dan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah pondok dan tahfiz.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial