AM > BERITA

YADIM SELAR TINDAKAN PERALAT ISU PALESTIN UNTUK KEPENTINGAN POLITIK

01/07/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyifatkan tindakan menggunakan perjuangan Palestin dan Masjidil Aqsa demi kepentingan peribadi, kelompok dan parti politik tertentu merupakan perbuatan sangat tidak wajar.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Yang Dipertua YADIM Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata semua kelompok masyarakat perlu rasional, berlapang dada, bersifat terbuka serta dapat membezakan kepentingan lain dengan perjuangan Masjidil Aqsa.

“Tumpukan kepentingan perjuangan ini sebagai tanggungjawab bersama umat Islam dan mengangkatnya menjadi isu kemanusiaan sejagat agar seluruh rakyat Malaysia dan penduduk dunia bersama dalam perjuangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta semua pihak menyokong dasar perjuangan Palestin yang digariskan oleh semua Perdana Menteri Malaysia sehingga Perdana Menteri terkini Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasanuddin yang juga Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pergerakan Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama dengan perjuangan kemanusiaan Palestin.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) yang dianggotai empat badan bukan kerajaan berkaitan Islam turut menzahirkan rasa kesal dan kecewa apabila isu berkaitan Palestin diperalatkan untuk menyerang lawan politik, terutamanya menjelang pilihan raya kecil (PRK).

Menurut kenyataan itu, isu kemanusiaan dan pelanggaran prinsip hak asasi yang amat serius dan kritikal di Palestin tidak seharusnya diperalatkan untuk meraih sokongan politik.

“Apabila dipolitikkan, isu Palestin yang sepatutnya menyatukan, berpotensi untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia apabila dipolitikkan angkara pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Melabel, memfitnah mana-mana pihak yang turut memperjuangkan isu Palestin adalah tidak wajar dan melanggar adab serta akhlak dalam menangani perselisihan. Isu Palestin sewajarnya diperjuangkan dengan konsisten dan objektif,” menurut kenyataan itu.

Menurut HIKAM, usaha menentang kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin perlu diteruskan dan semua pihak harus mainkan peranan dalam memperjuangkannya sama ada kerajaan, pembangkang, NGO dan masyarakat umumnya.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan