AM > BERITA

LKAN: 337 SEKOLAH MASIH GUNA TEKNOLOGI BROADBAND 4G

04/07/2024 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Sebanyak 337 sekolah masih menggunakan teknologi broadband (4G) atau satelit dengan limitasi capaian kelajuan sehingga 30 Mbps, walaupun projek Point of Presence (PoP) di semua sekolah berkenaan telah siap sejak April 2022 hingga November 2023.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 berkata semakan mendapati peratus penggunaan teknologi broadband (4G) atau satelit oleh sekolah di setiap negeri adalah antara 12.5 hingga 91 peratus.

“Semakan lanjutan mendapati Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terikat dengan kontrak Pakej Interim Perkhidmatan Internet yang masih berkuat kuasa dari bulan Julai 2022 sehingga bulan Jun 2024 dan pihak sekolah juga tidak boleh membuat perolehan tambahan langganan perkhidmatan Internet selagi mana kontrak interim masih berkuat kuasa.

“Maklum balas daripada KPM menyokong projek PoP dan berusaha untuk mengguna pakai infrastruktur PoP yang telah tersedia. KPM juga mengutamakan teknologi fiber sekiranya teknologi itu tersedia di kawasan sekolah yang terlibat,” menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat, hari ini. 

Justeru LKAN mensyorkan Kementerian Komunikasi menyelaras dengan pihak yang berkepentingan berkenaan langganan internet terutamanya kepada KPM dan pelaksanaan program hendaklah ditambah baik dalam PoP Fasa 2.

Projek PoP bertujuan merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar dengan menjadikan sekolah sebagai hab infrastruktur jalur lebar gentian optik (fiber) sekaligus membolehkan sekolah, premis kerajaan dan kawasan perumahan di sekelilingnya mendapat akses jalur lebar dengan kelajuan yang tinggi.

Laporan itu berkata sehingga 31 Dis 2023, didapati 599 atau 95 peratus daripada 630 projek PoP sekolah Fasa 1 telah disiapkan manakala 31 atau lima peratus projek PoP masih dalam pelaksanaan.

“Semakan Audit kepada Laporan FOMIX dan laporan syarikat telekomunikasi sehingga 31 Dis 2023 mendapati hanya dua atau satu peratus sekolah daripada 599 sekolah telah melanggan rangkaian internet daripada projek PoP manakala baki 597 sekolah masih melanggan internet di bawah Pakej Interim Perkhidmatan Internet KPM,” menurut laporan itu.

LKAN turut mensyorkan Kementerian Komunikasi menyediakan perancangan bagi penggunaan jajaran jalur lebar yang komprehensif bagi memastikan jajaran yang tidak dilanggan dapat dimanfaatkan.

Ia susulan laporan itu mendapati 27 daripada 28 jajaran tidak digunakan, dan dilanggan selama enam hingga 10 tahun sejak projek ini siap pada tahun 2013 dan 2017, dan satu jajaran mulai bulan November 2023.

“Semakan Audit mendapati ketiadaan langganan terhadap jajaran Broadband To General Population (BBGP) antaranya memberi kesan terhadap fokus Kerajaan melalui rancangan pembangunan untuk meningkatkan liputan dan akses jalur lebar berkelajuan tinggi khususnya buat masyarakat luar bandar,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan