AM > BERITA

AKAUN KELDAI: PINDAAN AKTA 574, AKTA 593 DIJANGKA DIBENTANG PADA SIDANG PARLIMEN KALI INI - AZALINA

04/07/2024 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Pindaan bagi Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian berkaitan akaun keldai, dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan itu melibatkan pewujudan kesalahan baharu berkaitan tindakan kepada pihak yang membenarkan akaun bank digunakan orang lain tanpa kuasa dan tujuan yang sah.

Beliau berkata selain itu pindaan berkenaan akan memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk menyita akaun bank yang disyaki terlibat dengan jenayah penipuan dalam talian.

“Pindaan itu dibuat berikutan undang-undang sedia ada tidak memperuntukkan sebarang kesalahan kepada pemilik akaun bank yang membenarkan akaun mereka digunakan orang lain bagi tujuan tidak sah dan menyukarkan polis untuk menyekat pergerakan wang mangsa yang disalurkan akaun tersebut (akaun keldai).

“Akibat kelompongan ini dan keperluan mendesak bagi melindungi rakyat, kerajaan sedang pertimbangkan cadangan pindaan Akta 574 dan Akta 593...kedua-dua cadangan pindaan ini dijangka akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini selepas memperoleh pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung status penggubalan perundangan berkaitan kesalahan akaun mule (akaun keldai) dalam menangani peningkatan penipuan kewangan dalam talian yang membimbangkan berikutan perkembangan teknologi moden.

Menjawab soalan tambahan Rayer, Azalina berkata menerusi pindaan akta itu yang membenarkan polis menghalang wang mangsa penipuan dalam talian dikeluarkan atau digunakan, ia turut memudahkan polis melakukan penjejakan wang (money tracing), sekali gus membuka ruang untuk pemulangan wang kepada mangsa.

Beliau berkata secara keseluruhan, jumlah kerugian akibat jenayah penipuan kewangan dalam talian bagi tempoh 2022 hingga Jun 2024 adalah RM2,651,321,398.34.

“Terdapat peningkatan keseluruhan bagi jumlah kerugian iaitu 43.20 peratus bagi tempoh berkenaan dengan 2022, (jumlah direkodkan adalah) RM851,121,636.62; pada 2023 sebanyak RM1,218,839,783,59 dan bagi tahun ini RM581,359,978.13,” katanya.

Rayer dalam soalan tambahan mahu tahu mengenai jumlah kerugian yang direkodkan dari kes penipuan dan dengan cadangan pindaan, adakah kerajaan dapat pastikan wang mangsa yang telah ditipu dapat dikembalikan.

Azalina berkata bagi usaha jangka panjang, kerajaan juga sedang menggubal undang-undang berkaitan semua aspek jenayah dalam talian secara menyeluruh termasuk jenayah penipuan kewangan, jenayah manipulasi teknologi kecerdasan buatan (AI), jenayah seksual, dan kaedah ‘deep fake’.

Beliau berkata Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-Undang Baharu Berkaitan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian yang dipengerusikannya secara bersama dengan Menteri Komunikasi dan Menteri Digital sedang memperhalusi cadangan itu.

“Jawatankuasa kerja telah bermesyuarat tiga kali masing-masing pada 5 Feb, 13 Mac dan 14 Mei lepas...Kita berharap jika Kabinet dapat meluluskan secara dasar, undang-undang baharu yang digubal itu dapat dibentangkan di Parlimen dalam sidang akan datang pada Oktober ini.

“Agensi pelaksana undang-undang ini ialah Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital yang tertakluk kepada bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung usaha jangka panjang kerajaan menerusi penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan  (NSRC) serta kaedah ‘kill switch’.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan