AM > BERITA

KES TIFOID DI KELANTAN TERKAWAL - PENGARAH KESIHATAN NEGERI

04/07/2024 04:11 PM

KOTA BHARU, 4 Julai (Bernama) -- Kes jangkitan demam kepialu atau tifoid di negeri ini yang melibatkan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, masih terkawal, dan tiada pertambahan kes baharu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata bagi mengurangkan risiko jangkitan, orang ramai khususnya pengendali premis makanan termasuk katin sekolah dan restoran dinasihatkan agar menjaga kebersihan dalam menyediakan makanan.

Beliau menasihatkan orang ramai memakan makanan yang telah dimasak sepenuhnya selain mengelak daripada mengambil makanan dan minuman yang berisiko seperti sayur-sayuran mentah, makanan yang dibeli dari penjaja dan sebagainya.

“Jangkitan ini dapat dielakkan jika orang ramai mengambil langkah-langkah penjagaan yang sewajarnya. Alhamdulillah, setakat ini kes yang berlaku adalah terkawal iaitu hanya lima orang pelajar sahaja yang dijangkiti daripada keseluruhan 23 kes yang dilaporkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan, lima pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu disahkan dijangkiti tifoid atau demam kepialu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan