AM > BERITA

KPN MAHU ANGKAT YSS JADI PENERAJU KESUKARELAWANAN BELIA

04/07/2024 06:46 PM

PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mahu Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) diangkat menjadi peneraju bagi aspek kesukarelawanan belia di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata bagi mencapai tujuan itu, KPN akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia agar YSS dapat memberikan khidmat sokongan kepada pembangunan sukarelawan siswa di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) menerusi program kokurikulum berkredit.

“Kesukarelawanan harus menjadi inti pati kepada integrasi sosial yang dapat digunakan untuk meningkatkan keupayaan dan pembangunan komuniti.

“Budaya sukarelawan dalam kalangan generasi muda perlu diperkasakan kerana ia mampu meningkatkan semangat cintakan negara dan saling hormat-menghormati antara kaum di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Misi Sukarelawan Siswa YSS Green Summer Volunteer Campaign (GSCV) ke Vietnam 2024 di sini hari ini.

Aaron berkata seramai 50 pelajar IPT yang menyertai misi itu akan berlepas ke Vietnam hari ini dan akan berada di negara itu sehingga 9 Ogos ini.

Beliau berkata kesemua sukarelawan itu akan dihantar ke empat lokasi berlainan iaitu Thoi An Ward, Phuoc Loc Commune, Tan Nhut Commune dan An Nhon Tay bagi melaksanakan aktiviti bergandingan dengan sukarelawan Vietnam.

“Antara projek utama yang telah dikenal pasti ialah membina rumah persahabatan, menaik taraf jalan, baik pulih taman pertanian, membina landskap di kawasan komuniti dan menanam pokok,” katanya.

Beliau berkata penyertaan dan penglibatan golongan siswa dalam aktiviti yang bertunjangkan kesukarelawanan mampu melahirkan belia bersemangat patriotik serta muhibah selari dengan tema baharu misi itu iaitu ‘Kesukarelawanan Tunjang Perpaduan’.

GSCV yang dianjurkan sejak 1994 melibatkan penyertaan lebih 100,000 belia setiap tahun yang menyertai program kesukarelawanan dan komuniti selama sebulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan