AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON TIMUR, PLATFORM FAHAMI INISIATIF DAN DASAR BAHARU KERAJAAN

05/07/2024 03:31 PM

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Penganjuran Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur menjadi platform untuk masyarakat setempat memahami, menilai dan melihat inisiatif dan dasar baharu Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata sebanyak 34 pameran reruai dan 188 perkhidmatan daripada pelbagai kementerian serta agensi dibawakan kepada pengunjung yang datang ke Program MADANI Rakyat kali ini.

“Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa siri Program MADANI Rakyat bermula di Bukit Jalil yang telah mendapat sambutan amat baik dan harapan kita di zon timur ini akan mendapat respons lebih baik daripada masyarakat setempat,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi ‘walkabout’ di Program MADANI Rakyat Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini yang bermula hari ini hingga Ahad. 

Rubiah berkata program itu turut menampilkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bagi memberi peluang pengunjung melihat secara langsung pertandingan gasing, rebana ubi dan aktiviti sepak takraw, manakala Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pula mempromosikan aktiviti pelancongan di Tasik kenyir dan Taman Herba.

“Dalam masa sama, kita juga adakan Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan penyertaan agensi di bawah KKDW khususnya FELCRA (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) dan Koperasi Pahang.

“Pengunjung turut berpeluang bertemu dengan dua ekor gajah yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang serta haiwan lain di Petting Zoo,” katanya. 

Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat dan agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan selain kesejahteraan luar bandar, perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan.

Oleh itu katanya, warga pantai timur khususnya di Pahang, Kelantan dan Terengganu perlu merebut peluang untuk hadir memeriahkan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur sepanjang tiga hari ia berlangsung. 

“Tidak rugi datang ke sini untuk kita lihat apa yang kerajaan lakukan demi kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan