AM > BERITA

PENEROKA FELDA MENUJU ERA PENDIGITALAN NEGARA

05/07/2024 04:48 PM

JEMPOL, 5 Julai (Bernama) -- Kaedah transaksi tanpa tunai atau 'cashless' kini semakin mendapat tempat di kalangan warga Felda, menjadikan urusan perniagaan lebih efisien, meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai.

Menerusi pendigitalan itu, para peneroka dan peniaga kecil terutamanya yang berada di kawasan Felda Palong, Jempol kini menggunakan transaksi pembayaran lebih cepat dan selamat, sekali gus memacu kemajuan ekonomi di kawasan tersebut.

Nur Shafini Yaman, 38, menyifatkan para peniaga kecil mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut iaitu selari dengan perkembangan teknologi semasa yang menggunakan sistem pembayaran digital tanpa wang tunai atau Kod Respons Pantas (Kod QR) dalam urusan jualan dan pembelian.

“Pembayaran secara tanpa tunai ini memudahkan, kami (warga felda) tidak perlu ke pekan untuk mengeluarkan duit, sebelum ini kami perlu ke Bahau, Jempol untuk ke bank, jadi pembeli hanya perlu membuat bayaran menerusi Kod QR sahaja,” katanya kepada Bernama.

Peniaga aiskrim dan waffle itu berkata rekod transaksi kewangan yang tersusun juga membolehkan urusan perniagaan lebih teratur berbanding menggunakan cara konvensional.

Senada dengannya, Nurzuliana Zulkifli, 33, berkata dia tidak perlu memegang duit tunai yang banyak ketika menjual makanan selain dapat mengurangkan risiko duit hilang atau sebagainya.  

Selain itu beliau berkata menerusi platform digital itu, peniaga juga dapat meluaskan capaian pasaran jualan dan menawarkan pelbagai pilihan pembayaran kepada pelanggan, menjadikan perniagaan lebih kompetitif dan relevan dalam pasaran semasa.

Ketua Peneroka Felda Palong 7, Shamsudi Basir berkata inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) negeri menumpukan warga Felda bagi program itu adalah usaha tepat dalam memastikan penduduk dapat membiasakan penggunaan platform digital itu. 

“Kita memang mengalakkan penggunaan tanpa tunai dalam kalangan warga Felda, dalam era digital ini, semua peneroka terutamanya generasi pertama dan kedua perlu didedahkan dengan kaedah pembayaran tanpa tunai, jadi platform ini perlu digunakan sebaiknya.

“Usaha kerajaan hari ini adalah mahu memastikan warga peneroka tidak ketinggalan dengan perkembangan teknologi terutamanya bagi usahawan muda,” katanya dengan menambah semua pembayaran di pejabat kerajaan dan agensi swasta di sini juga menggunakan pembayaran secara tanpa tunai. 

Program Cashless Society @Nadi Palong 7 hari ini turut dihadiri Pengarah MCMC Negeri Md Tahir Musa serta rakan strategik seperti  Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Maybank, Setel (Petronas), Sakupay, TM UNIFI, dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Program Cashless Society merupakan inisiatif berimpak tinggi dijalankan Kerajaan Persekutuan bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital negara selari dengan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 yang menyasarkan purata seorang individu melakukan 400 transaksi digital menjelang 2026. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan