AM > BERITA

KPKT KENAL PASTI 534 KAWASAN BERPOTENSI BAGI PEMBANGUNAN SEMULA BANDAR DI SEMENANJUNG

05/07/2024 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti 534 kawasan berpotensi untuk pembangunan semula bandar di Semenanjung Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM355.3 bilion.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu, 139 kawasan berada di Kuala Lumpur dengan keluasan keseluruhan ialah 3,206.5 ekar.

Beliau berkata cadangan pembangunan semula bandar itu merangkumi tujuh aspek iaitu peruntukan undang-undang, perkongsian awam-swasta, pembinaan keupayaan dan perkongsian pengetahuan, libat urus dan keterangkuman komuniti, reka bentuk yang mampan dan berdaya tahan, penggunaan teknologi dan inovasi serta ketelusan dan akauntabiliti.

"Dalam kes yang paling ekstrem, bahagian lama sesebuah bandar ditinggalkan, tidak sihat dan tidak lagi mampan namun terdapat seni bina yang signifikan dari segi budaya serta sejarah yang patut dipelihara… justeru itu, ini adalah langkah permulaan yang penting ke arah meremajakan semula bahagian yang telah ditinggalkan dalam fabrik perbandaran kita," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata KPKT akan mencadangkan rang undang-undang untuk menggubal Akta Pembangunan Semula Bandar yang dijadual dibentang di Parlimen menjelang suku pertama 2025, yang mentadbir aktiviti pembaharuan dan pembangunan semula bandar di negara ini.

Beliau berkata akta itu bertujuan memulihkan kemeriahan dan daya tarikan kawasan lama, menyediakan ruang kediaman mampu milik, meningkatkan kemudahan awam dan menghidupkan semula seni bina dengan kepentingan nasional. 

“Prinsip panduan tertinggi untuk menggubal undang-undang itu seperti biasa semestinya demi kesejahteraan rakyat dan tiada yang lebih penting daripada kemanusiaan selaras dengan aspirasi MADANI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan