AM > BERITA

PERUBAHAN KEPIMPINAN UK TIDAK BERI KESAN KEPADA HUBUNGAN DENGAN MALAYSIA - GEOSTRATEGIS

05/07/2024 09:12 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Perubahan kepimpinan United Kingdom (UK) dilihat tidak akan memberi sebarang kesan kepada dasar luar negara itu dalam hubungan dengan Malaysia, kata geostrategis Prof Dr Azmi Hassan. 

Beliau ketika dihubungi Bernama berkata jangkaan itu adalah berdasarkan tidak ada isu yang mendadak di antara London dan Kuala Lumpur dari segi ekonomi dan geopolitik selama ini.

“Kecuali dalam isu Palestin, kalau dilihat Perdana Menteri Rishi Sunak sebelum ini tidak mahu mengiktiraf negara Palestin yang merdeka manakala Ketua Parti Buruh Keir Starmer pernah berkata akan mengiktiraf Palestin. Bagaimanapun tidak tahu bila pengiktirafan ini akan dibuat,” katanya. 

Menurut Azmi memandangkan isu Palestine sangat dekat dengan Malaysia, ada kemungkinan UK yang lebih mesra Palestin dapat dilihat selepas ini,” katanya. 

Mengenai perjanjian pertahanan tiga pihak di antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat atau AUKUS yang dikatakan boleh mengganggu gugat  kestabilan di Indo-Pasifik  termasuk rantau ASEAN, Starmer pernah mengatakan tidak akan ada perubahan dalam perjanjian itu. 

Ini bermakna UK akan memberi kerjasama dalam hubungan luar di antara London dan Kuala Lumpur, katanya. 

Terdahulu hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada  Starmer dan Parti Buruh Britain atas kemenangan besar mereka dalam Pilihan Raya Umum United Kingdom. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan Starmer dan pasukannya untuk membangunkan hubungan strategik baharu, dibina atas keterangkuman, kesaksamaan, saling menghormati, hubungan rakyat dengan rakyat dan visi bersama untuk masa depan.

Perdana Menteri menyifatkan perkongsian antara Malaysia dan Britain setakat ini adalah sesuatu yang berkekalan, terjalin menerusi sejarah panjang dan diperkukuh oleh ikatan persaudaraan yang erat.

Menurut Agensi Berita Xinhua, Parti Buruh yang diketuai oleh Starmer telah memenangi majoriti langsung di Dewan Rakyat Parlimen Britain, menurut pengiraan kerusi oleh Sky News.

Dengan keputusan 467 daripada 650 kerusi parlimen telah diumumkan, parti Buruh memenangi 326, kata Sky News awal Jumaat, seperti yang dipetik oleh agensi berita itu.

Starmer dalam satu hantaran di Facebook berikutan kemenangannya berkata: "Kami telah menerima mandat. Ini adalah tujuan parti ini (Parti Buruh) dan kerajaan ini.   

Hari ini kami memulakan bab seterusnya, memulakan kerja-kerja perubahan, misi pembaharuan semula nasional dan mula membina semula negara kita,”katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan