AM > BERITA

343 KES JENAYAH LIBATKAN KANAK-KANAK DI PERAK - EXCO

09/07/2024 03:00 PM

IPOH, 9 Julai (Bernama) -- Sejumlah 343 kes jenayah melibatkan kanak-kanak dilaporkan sejak 2022 sehingga 19 Jun lepas di Perak, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Salbiah Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 314 kes membabitkan kanak-kanak lelaki manakala 29 kes melibatkan kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata kes tertinggi direkodkan merupakan kesalahan jenayah melibatkan dadah iaitu 85 kes, jenayah berkaitan manusia (84), harta benda (76), lalu lintas (56) dan lain-lain (29).

“Selain itu kesalahan melibatkan judi (lapan), Akta Kesalahan Kecil (tiga), senjata atau bahan api (satu) serta kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak (satu),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) yang ingin tahu statistik kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah secara terperinci dan statistik jenayah terhadap kanak-kanak termasuk penderaan, pengabaian dan keganasan seksual.

Dalam pada itu, Salbiah berkata sebanyak 1,189 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan membabitkan 446 lelaki dan 743 perempuan dilaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri bermula 2022 hingga Jun lepas.

Pada tahun ini katanya sebanyak 300 siri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak, KASIH Kanak-Kanak, telah dirancang di seluruh negara termasuk Perak.

“Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak, ibu bapa, keluarga dan komuniti setempat tentang tindakan yang perlu mereka lakukan sekiranya berhadapan dengan masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan