AM > BERITA

KONSERT AR RAHMAN DIHARAP BUKA RUANG KOLABORASI DENGAN ARTIS TEMPATAN

09/07/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Konsert komposer dari India, AR Rahman pada 27 Julai ini diharap dapat membuka peluang kepada artis tempatan untuk berkolaborasi dengan pemuzik legenda itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata harapan itu dizahirkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan penggubah lagu itu di Bangunan Parlimen hari ini yang turut disertai beliau. 

"Sepanjang 40 minit perjumpaan, AR Rahman menceritakan pelbagai pengalamannya di industri muzik termasuk berkongsi mengenai beberapa klip video muzik yang diterbitkannya.

"Beliau turut berkongsi mengenai nilai-nilai kemanusiaan dan juga pengaruh kecerdasan buatan (AI) di industri muzik yang semakin menyerlah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. 

Beliau berkata Perdana Menteri turut tertarik dengan nilai-nilai kemanusiaan, kesenian dan keamanan yang dibawa oleh AR Rahman menerusi muzik.

Ramanan berkata AR Rahman yang juga pemenang Anugerah Oscar turut menjemput Perdana Menteri untuk menghadiri konsertnya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Pengarah Star Planet Datuk R Rajendran dan Pengarah Urusan Star Planet Datuk Alan Foo.

Dipersembahkan bersama oleh Thamarai Jewels dan SRM International Real Estate LLC serta dianjurkan oleh Star Planet, konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 akan menampilkan lagu-lagu hit beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan