AM > BERITA

DITIPU PENJUAL DURIAN, PENGGUNA DISARAN LAPOR KPDN

09/07/2024 09:22 PM

MELAKA, 9 Julai (Bernama) -- Orang ramai yang berdepan penipuan jualan durian diminta segera membuat aduan berbanding menularkan kejadian itu di media sosial agar tindakan segera dapat diambil.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata tindakan itu juga bertujuan memastikan bukti berhubung penipuan yang dilakukan peniaga terbabit tidak dihapuskan.

Beliau berkata sebaik menerima aduan berkenaan, siasatan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam dan sekiranya penipuan itu dapat disabitkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan dilakukan sebagai pengajaran selain menyita durian yang dijual.

"Setakat ini, tiada aduan yang diterima KPDN Melaka berhubung penipuan itu tetapi menerusi pemantauan di media sosial terdapat komen daripada pengguna bahawa mereka ditipu peniaga durian termasuk daripada segi harga dan promosi mengelirukan.

"Sepatutnya isu tersebut tidak ditularkan sebaliknya aduan boleh dibuat secara terus kepada KPDN Melaka menerusi pelbagai platform seperti Pejabat KPDN Melaka di Wisma Persekutuan, media sosial rasmi kami antaranya Facebook dan TikTok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan di premis menjual durian sekitar Cheng sempena musim raja buah itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Melaka Rohaimi Mohamed Zawawi.

Mengulas lanjut, Norena berkata tindakan boleh diambil antaranya di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Sementara itu, beliau berkata sejak musim durian bermula awal bulan ini, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di 28 premis jualan di sekitar negeri susulan promosi hebat peniaga di media sosial.

"Sepanjang pemantauan yang dijalankan, kebanyakan peniaga meletakkan tanda harga terlalu kecil dan kurang jelas sehingga mengelirukan pembeli.

"Bagaimanapun setakat ini, kita hanya memberikan nasihat dan advokasi kepada peniaga terbabit agar menambah baik aspek berkenaan agar tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan