Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 27 April (Bernama) -- Dua kemenangan daripada dua perlawanan bukan alasan untuk pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia terus dibuai rasa selesa.
Pemain ranking ke-82 dunia itu menegaskan ujian sebenar masih menanti apabila Malaysia berdepan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Thomas 2026 di Forum Horsens, Rabu ini.
“Saya bukan nak kata terlalu gembira (dengan dua kemenangan) kerana kita tahu tahap dua perlawanan ini macam mana, tetapi menentang Jepun nanti memang satu ujian untuk saya.
“Saya rasa kedua-dua pasukan ada peluang, namun saya percaya kepada rakan sepasukan. Jika jurulatih meletakkan saya bermain, saya akan beri yang terbaik,” katanya dalam temu bual selepas Malaysia menewaskan Finland 4-1, hari ini.
Terdahulu, Zii Jia menyumbang mata kedua Malaysia apabila menewaskan Ananda Galvani Daniswara 21-19, 21-10 dalam tempoh 35 minit.
Kemenangan itu membantu Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menundukkan Finland.
Sabtu lepas, bekas juara All England 2021 itu turut menjadi wira negara apabila menyumbang mata kemenangan ketika Malaysia menewaskan England 3-2 dalam aksi pembukaan dengan menewaskan Nadeem Dalvi 21-13, 21-11.
Sementara itu, pemain perseorangan utama negara Leong Jun Hao yang tidak diturunkan ketika menentang England, mengakui masih mencari rentak permainan sehingga tewas kepada pemain Finland, Joakim Oldorff 17-21, 15-21 dalam tempoh 43 minit.
“Saya rasa kecewa dengan perlawanan hari ini, ini perlawanan pertama saya dan saya masih cuba mendapatkan momentum,” katanya.
Pemain perseorangan kedua negara Justin Hoh yang mencetuskan kebangkitan Malaysia ketika menentang Finland, berkata kemenangannya ke atas Kalle Koljonen 21-14, 21-12 telah meningkatkan keyakinannya selepas tewas kepada pemain England, Harry Huang 19-21, 19-21.
Dalam pada itu, gandingan baharu lelaki negara Soh Wooi Yik bersama Tee Kai Wun turut mencuri tumpuan apabila menewaskan Daniswara-Alvar Melleri 21-7, 21-14 sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia.
Piala Thomas 2026 yang bermula 24 April akan berlangsung hingga 3 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial