AM > BERITA

PINTU PAGAR BALAI POLIS DITUTUP 10 MALAM, LAPORAN TETAP BOLEH DIBUAT - SAIFUDDIN

10/07/2024 10:09 AM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

“Kita perlu imbangi (langkah-langkah keselamatan) kerana balai polis adalah tempat rakyat mengadu, tetapi pada masa sama, balai polis juga menjadi sasaran, jadi kita imbangkan antara dua keperluan itu. 

“Insiden di Ulu Tiram, saat itu ada dua orang yang berurusan dengan anggota polis (di dalam balai) dan ketika itu serangan berlaku,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) yang bertanyakan langkah-langkah memperketatkan keselamatan balai polis di Malaysia ekoran insiden 17 Mei lepas itu yang menyaksikan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Turut maut dalam insiden itu adalah suspek berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan mengalami kecederaan akibat ditembak.

Saifuddin berkata ekoran peristiwa di balai polis itu, tindakan segera PDRM adalah memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran.

Beliau berkata antara arahan pentadbiran perintah tetap Ketua Polis Negara adalah berhubung kekerapan mengadakan rondaan sekitar kawasan balai di samping keperluan meneliti keadaan fasiliti balai polis contohnya lampu dan pagar untuk ditambah baik. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan