AM > BERITA

ORANG RAMAI DIJEMPUT MERIAHKAN PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DI CYBERJAYA 21 JULAI INI

10/07/2024 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Orang ramai dijemput untuk memeriahkan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang akan berlangsung pada 21 Julai ini di Cyberjaya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan acara itu di Cyber Event Hall, Cyberjaya pukul 9 pagi pada hari berkenaan, menurut poster publisiti yang dimuat naik di laman sosial Merdeka 360. 

"Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan dan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara. Terdapat pelbagai aktiviti menarik antaranya Karnival Kita MADANI x HKHM 2024 dan aktiviti interaktif kenegaraan," menurut keterangan poster itu. 

Sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan signifikan majlis pelancaran itu adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya dengan momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan sehingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 Sept ini di Sabah. 

Pada tahun ini, tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) ialah 'Malaysia MADANI-Jiwa Merdeka' dengan Logo Malaysia MADANI dipilih sebagai logo sambutan. 

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024 berkata pemilihan tema itu merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya. 

Beliau turut mengajak seluruh rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang melalui Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang disifatkan bertepatan bagi menterjemah semangat patriotik dalam diri serta ahli keluarga.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan