AM > BERITA

AGONG TERIMA PERSEMBAHAN PERUTUSAN RASMI SULTAN BRUNEI KE ISTIADAT PERTABALAN

10/07/2024 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima perutusan rasmi Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung pada 20 Julai ini. 

Berdasarkan hantaran di akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, perutusan rasmi itu dipersembahkan oleh delegasi Brunei yang diketuai Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara Brunei Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar. 

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Negara Brunei Pehin Datu Lailaraja Major General (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Haji Mohd Yussof. 

Sementara itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia yang turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan Datuk Awang Alik Jeman. 

Turut sama ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Zailani Hashim. 

Pada hantaran lain di akaun sama, Sultan Ibrahim juga berkenan mendengar persembahan taklimat mengenai acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17. 

Taklimat berkenaan dipersembahkan oleh Fahmi yang juga merupakan Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas. 

Pada 16 Mei lepas Fahmi mengumumkan Istiadat Pertabalan berlangsung pada 20 Julai di Istana Negara dan kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, akan melaksanakan tujuh acara sempena istiadat penuh simbolik lima tahun sekali itu.  

Acara sempena Istiadat Pertabalan itu dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai disusuli Khutbah Khas serta Solat Jumaat pada keesokannya di Masjid Negara. 

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara akan disusuli Majlis Santapan Diraja pada hari sama. 

Turut berlangsung lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai manakala Pameran Raja Kita dijadualkan pada 25 Julai di Muzium Negara sebelum diakhiri dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai di Istana Negara.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan