AM > BERITA

PROJEK JANAKUASA SOLAR HIBRID CYPARK MERCHANG BERI MANFAAT EKONOMI KEPADA TERENGGANU

10/07/2024 05:08 PM

MARANG, 10 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan projek Janakuasa Solar Hibrid Cypark Merchang bakal memberi manfaat kepada rantaian ekonomi negeri melalui kewujudan peluang pekerjaan, latihan, perniagaan dan peningkatan kemahiran kepada masyarakat setempat.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan sentiasa menyokong sebarang usaha kerajaan pusat dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang dilihat bukan sahaja mampu menjana pendapatan negara, malah menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negeri.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan lebih komited dalam memperkenalkan lebih banyak dasar yang mesra alam dengan sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan, pihak swasta dan pelbagai agensi.

"Kami akan memastikan proses kelulusan dan pelaksanaan projek-projek ini dipermudahkan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi negeri, serta menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong perkembangan teknologi hijau.

"Dalam usaha mencapai matlamat ini, kita turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dalam tenaga boleh diperbaharui melalui penyediaan latihan dan pendidikan kepada generasi muda," katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Janakuasa Solar Hibrid Cypark Merchang, di sini hari ini.        

Majlis peluncuran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata ketika ini jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui di Terengganu adalah sebanyak 1012 MegaWatt (MW) yang meliputi solar, hidro, hidro mini dan biogas.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun akan datang pihaknya menyasarkan penghasilan tenaga solar sebanyak 1,000 MW melalui projek solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

"Sasaran ini juga merangkumi peningkatan kapasiti penjanaan tenaga baharu kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025," katanya.          

 -- BERNAMA
 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan