AM > BERITA

PROJEK LADANG HUTAN DILULUSKAN PERLU DIGANTI SEKIRANYA TIMBUL RISIKO - SANUSI

10/07/2024 11:08 PM

ALOR SETAR, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kedah terpaksa menggantikan kawasan baharu bagi projek-projek ladang hutan yang telah diluluskan sebelum ini, sekiranya ia didapati mendatangkan risiko kepada alam sekitar dan penduduk.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek-projek terbabit tidak boleh dibatalkan dengan sewenang-wenangnya kerana kerajaan negeri boleh berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Kekangan yang kita hadapi, kelulusan (untuk projek ladang hutan) telah diberi terlalu banyak … ada kelulusan lama yang telah mengikat kita, dari segi undang-undang kita tidak boleh batal atau kita terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang kalau kita membuat pembatalan.

“Cuma kita boleh (beri) kelulusan baharu untuk ganti … macam ada kelulusan dulu projek ladang hutan di dalam Hutan Simpan Ulu Muda, kalau periksa dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah memang ada kelulusan baharu, tapi kelulusan itu untuk ganti projek ladang hutan di Hutan Simpan Ulu Muda,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kebimbangan penduduk susulan kerja-kerja penebangan pokok yang sedang dilaksanakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kulim dipercayai untuk laluan pembalakan dan projek ladang hutan.

Muhammad Sanusi berkata sekiranya ada projek ladang hutan yang mendatangkan risiko, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan syarikat terbabit untuk membatalkan kelulusan projek di kawasan itu dan menggantikan dengan kawasan baharu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata dua projek loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau telah diberikan lanjutan masa (EOT) iaitu masing-masing pada Januari 2025 dan April 2025.

Beliau berkata EOT itu diberikan selepas syarikat kontraktor yang berkaitan membuat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya berdasarkan aspek-aspek teknikal dan isu-isu yang timbul berkaitan projek berkenaan.

“Di Sungai Limau ia telah diberikan EOT kali kedua dan syarikat kontraktor terbabit akan didenda sekiranya serahan projek dari tarikh yang telah ditetapkan … di Bukit Selambau, EOT hingga April, selepas tarikh itu ia juga akan didenda,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata pihaknya berpandangan kekangan yang dihadapi oleh syarikat kontraktor terbabit disebabkan kenaikan harga bahan binaan sejak keputusan tender bagi projek-projek terbabit dikeluarkan pada 2021.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan