AM > BERITA

PARAS EMPANGAN BUKIT MERAH CECAH TAHAP TERBURUK, OPA AKAN DILAKSANA - EXCO

11/07/2024 02:30 PM

IPOH, 11 Julai (Bernama) -- Operasi Pembenihan Awan (OPA) bakal dilaksanakan di Empangan Bukit Merah, Bagan Serai, namun bergantung kepada cuaca seperti disarankan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata ketetapan berhubung pelaksanaan itu dipersetujui dalam mesyuarat pada 4 Julai lepas antara jabatan serta agensi berkaitan di peringkat pusat dan negeri.

“Mesyuarat itu melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.

“Semua pihak bersetuju melaksanakan OPA namun perkara ini masih di peringkat pelarasan oleh pihak NADMA,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada 9 Julai lepas, NADMA dalam satu kenyataan memaklumkan Empangan Bukit Merah dan Empangan Muda di Kedah menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah berada pada paras bahaya iaitu masing-masing 19.97 peratus dan 18.37 peratus.

Mohammad Nizar berkata fenomena yang berlaku di empangan berkenaan adalah yang terburuk direkodkan sejak empat tahun lepas berpunca fenomenan El-Nino yang melanda negara sejak 2023 hingga Mei lepas.

“Buat masa ini paras air mencecah 6.09 meter iaitu terpaksa dilaksanakan Aras Henti Bekalan Pengairan bermula hujung Jun lepas. Ini bermakna catuan serta penutupan bekalan pengairan berlaku selama 13 hari berturut-turut sehingga hari ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan