AM > BERITA

KERAJAAN SELANGOR-PERKESO KERJASAMA JAGA KEBAJIKAN BEKAS PEKERJA GOODYEAR - AMIRUDIN

11/07/2024 04:27 PM

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan kebajikan bekas pekerja kilang pengeluar tayar global Goodyear Malaysia Berhad (Goodyear) terjamin susulan penutupan operasi syarikat itu di Shah Alam.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia dengan kerjasama Perkeso telah mengadakan tindakan intervensi melalui sesi perjumpaan dengan wakil Goodyear pada 26 Mac lalu.

Beliau berkata beberapa inisiatif dan pendekatan telah dibincangkan dan dipersetujui dalam usaha kedua-dua pihak menjaga kebajikan pekerja yang terjejas ekoran penutupan operasi syarikat tersebut.

“Antara inisiatif yang dipersetujui ialah menyediakan peluang pekerjaan melalui temu duga fizikal melibatkan 22 syarikat tempatan daripada pelbagai industri di kilang Goodyear pada 22 hingga 26 April lalu.

“Kedua-dua pihak juga mengalu-alukan pekerja terbabit untuk menghadiri temu duga kerjaya dalam Program Jelajah Jobcare anjuran kerajaan negeri bersama Perkeso yang dilaksanakan di sembilan daerah di negeri ini," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) yang ingin tahu tindakan intervensi kerajaan negeri dalam membantu pekerja di kilang Goodyear Shah Alam susulan pengumuman penutupan operasi mereka.  

Amirudin berkata pekerja terbabit yang berminat menyertai perkhidmatan penghantaran dan pembungkusan di bawah ekonomi gigs boleh memohon bantuan kerajaan negeri menerusi Program BikeCare-1,000, yang memperuntukan sumbangan wang pendahuluan RM1,000 untuk membeli motosikal.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), menubuhkan pasukan khas bagi membantu 550 pekerja yang terjejas ekoran penutupan kilang Goodyear di Shah Alam.

MIDA dalam satu kenyataan berkata pasukan itu akan membantu penempatan semula pekerja serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada pekerja yang terjejas.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan