AM > BERITA

TIADA EXCO KERAJAAN KELANTAN TERLIBAT RASUAH - MB

11/07/2024 04:45 PM

KOTA BHARU, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan mengesahkan tiada pemimpin khususnya exco-exco negeri disabit dengan kesalahan rasuah, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata ini berikutan dasar membangun bersama Islam yang berteraskan elemen aqidah, ibadah dan akhlak itu telah berjaya membentuk jati diri serta memandu kepimpinan di setiap peringkat untuk menolak jenayah rasuah dalam tadbir urus kerajaan.

"Amalan rasuah dalam apa sahaja situasi atau bentuk wajib diletakkan garis sempadan pada diri kita semua dan mengambil sikap berwaspada sewaktu perundingan agar tidak terjebak dengan amalan rasuah. 

"Jenayah ini bukan hanya merosakkan imej institusi pentadbiran dan keluarga, malah di akhirat kelak Allah humbankan pelaku rasuah tidak kira sama ada pemberi, penerima atau orang tengah ke dalam api neraka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ahli Politik dan SPRM Kelantan 'Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah' di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Rosli Husain berkata peranan ahli politik amat penting dalam memastikan tadbir urus yang baik serta berintegriti supaya menjadi pemimpin contoh yang menolak rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan