AM > BERITA

IMIGRESEN LABUAN PERKENAL I-KAD UNTUK PEKERJA ASING

11/07/2024 05:14 PM

LABUAN, 11 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Labuan memperkenalkan program Kad Pengenalan Pekerja Asing (I-Kad) untuk melicinkan proses pengenalan pekerja asing, bermula 14 Jun.

Seramai 1,015 pekerja asing dijangka memperoleh manfaat daripada inisiatif ini.

Pengarah Imigresen Labuan Raymond Entalai berkata pengeluaran I-Kad bersama Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tidak memerlukan sebarang kos tambahan kepada majikan dan tempoh sah laku I-Kad sama dengan tempoh sah laku PLKS.

“Hanya pemegang PLKS 12 bulan layak mendapat kemudahan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Raymond berkata pekerja asing boleh mengemukakan I-Kad sebagai pengenalan diri mereka semasa pemeriksaan penguatkuasaan, namun pasport yang sah masih diperlukan untuk perjalanan.

Sebanyak 25 I-Kad dikeluarkan kepada majikan setakat 28 Jun lepas. 

Raymond berkata I-Kad ditawarkan kepada pekerja dalam enam sektor iaitu perladangan, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan pembantu rumah asing.

Dalam perkembangan lain, Raymond berkata Jabatan Imigresen Labuan melaksanakan 34 operasi pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 252 operasi setakat 2024 yang menyasarkan pendatang tanpa izin dan penyalahgunaan pas lawatan sosial. 

“Pihak kami sudah menyaring 1,059 individu dan daripada jumlah itu 58 ditahan kerana melanggar undang-undang imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan