AM > BERITA

MALAYSIA, KUWAIT BINCANG PEROLEHAN PESAWAT F/A-18 HORNET

12/07/2024 01:07 AM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Malaysia sedang berbincang dengan Kuwait bagi memperoleh pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu dibincangkan ketika  menerima kunjungan hormat Duta Kuwait ke Malaysia Rashed Mohammed Rashed Al-Saleh hari ini.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat negara untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Legacy Hornet setelah KAF menerima Super Hornet baharunya.

“Pertemuan tersebut turut membincangkan soal kerjasama tentera dengan tentera, kerjasama industri pertahanan dan konflik di Gaza,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud.

Dalam pada itu beliau berharap hubungan bilateral dan kerjasama pertahanan Malaysia-Kuwait dapat terus dipertingkatkan seterusnya memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh melalui memorandum persefahaman yang akan ditandatangani kelak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan