AM > BERITA

PENDEKATAN PELBAGAI SERAMPANG TANGANI BULI SIBER - LEE LAM THYE

12/07/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Pendekatan pelbagai serampang diperlukan bagi menangani buli siber termasuk memperkenalkan undang-undang yang lebih komprehensif serta menghukum dengan jelas bentuk gangguan dan buli secara dalam talian di negara ini.

“Ini termasuk peruntukan khusus untuk pelbagai jenis buli siber seperti gangguan siber, ucapan kebencian dalam talian dan dedah maya, serta meminda undang-undang sedia ada untuk memasukkan hukuman lebih berat bagi pesalah berulang dan mereka yang menyebabkan kemudaratan ketara.

“Ini boleh melibatkan denda lebih tinggi, tempoh penjara lebih lama dan program kaunseling mandatori untuk pesalah,” kata Pengasas dan Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini, negara tidak mempunyai undang-undang khusus untuk buli siber.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat undang-undang sedia ada yang boleh diguna pakai untuk menangani aspek buli siber seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), Seksyen 499 Kanun Keseksaan: peruntukan berkaitan fitnah, yang boleh termasuk kenyataan fitnah dibuat dalam talian.

Selain itu, Seksyen 503 Kanun Keseksaan: peruntukan berkaitan ugutan jenayah, yang boleh meliputi ancaman dibuat melalui cara digital dan Seksyen 509 Kanun keseksaan: menghukum perkataan, isyarat atau perbuatan bertujuan menghina kesopanan seseorang yang boleh digunakan untuk kes gangguan dalam talian.

Lee turut mencadangkan keperluan untuk menubuhkan unit jenayah siber khusus dalam agensi penguatkuasaan undang-undang yang dilengkapi dengan latihan serta peralatan khusus untuk menyiasat dan mendakwa kes buli siber secara berkesan.

“Ini termasuk meningkatkan kerjasama antara penguat kuasa undang-undang, platform media sosial dan penyedia perkhidmatan Internet untuk mengenal pasti dan membuang kandungan berbahaya dengan pantas, mengesan pesalah dan memastikan mangsa menerima bantuan tepat pada masanya,” katanya.

Beliau juga menggesa kempen di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya buli siber dan cara mengenalinya, termasuk menyediakan sumber untuk sokongan kesihatan mental dan nasihat undang-undang.

“Selain itu, campur tangan orang ramai dan menggalakkan budaya hormat-menghormati dan kebaikan dalam talian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan