AM > BERITA

INSIDEN KEROPOK BERACUN: ADIK PULA MENINGGAL DUNIA

12/07/2024 08:31 PM

GEORGE TOWN, 12 Julai (Bernama) -- Mangsa kedua insiden keropok beracun Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, menghembuskan nafas terakhirnya hari ini hanya dua hari selepas pemergian abangnya Muhammad Akil Syauqi, 3,  ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP). 

Ibu kanak-kanak itu Nurain Hasnorizal, 25, ketika dihubungi berkata anak bongsunya meninggal dunia kira-kira 1.24 tengah hari tadi.

Terdahulu, kedua-dua beradik malang itu menerima rawatan di PICU HPP sejak Ahad lepas selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah.

Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi Rabu selepas 78 jam bertarung nyawa.

Nurain berkata proses bedah siasat anak bongsunya akan dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HPP hari ini sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan berhampiran pusara abangnya.

Walaupun sedih dan perit untuk menerima hakikat itu namun beliau reda dengan ketentuan Ilahi.

"Saya reda, biarlah dia ikut abangnya daripada menanggung kesakitan di sini...hilang sudah semua kesakitan adik sekarang," katanya dengan nada teresak-esak.  

Media melaporkan dua kanak-kanak itu dipercayai mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun yang dikatakan untuk memerangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi hari kejadian selepas melihat kedua-dua anaknya muntah dan mulut mereka berbuih.

Sementara itu di Kulim, nenek kanak-kanak berkenaan Saadiah Yaacob, 62, reda dengan pemergian seorang lagi cucunya. 

"Saya sedih sangat hilang dua cucu...selang dua hari…namun saya reda. Sudah sampai  ajalnya... sebelum ini, makcik senantiasa berdoa kedua-dua kembali sihat...namun mereka pergi juga untuk selamanya.

"Jenazah adik akan dikebumikan bersebelahan pusara abangnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, ibu kanak-kanak berkenaan memaklumkan anak bongsunya meninggal dunia 1.24 tengah hari tadi.

Kematian mangsa turut disahkan Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi.

“Bedah siasat dijangka dijalankan pada 5 petang ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan