AM > BERITA

JAKIM LAPOR MCMC HANTARAN TIK TOK PAPAR BACAAN QUNUT NAZILAH DOAKAN MUSIBAH KE ATAS PM, MENTERI

13/07/2024 03:38 PM

IPOH, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung hantaran sebuah akaun Tik Tok yang menyertakan bacaan Qunut Nazilah sambil mengajak orang ramai mendoakan musibah ke atas Perdana Menteri. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata JAKIM menyerahkan kepada MCMC untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas akaun itu. 

"Kita akan minta SKMM menilai kandungan berkenaan dan terpulang kepada pihak berkuasa itu mengambil tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Zon Utara di sini hari ini. 

Beliau berkata tindakan dibuat pengguna media sosial itu tidak sepatutnya berlaku, malah bertentangan dengan ajaran Islam, dan jika terdapat perbezaan pandangan atau pendapat, ia boleh dizahirkan dengan cara yang beradab melalui cara yang betul. 

"Mengadakan doa supaya pemimpin-pemimpin dilaknat itu bukan ajaran agama kita, Nabi Muhammad SAW mengajar berkasih sayang dan sekiranya (ada) beza pandangan apatah lagi dengan pemimpin yang seagama dengan kita, sepatutnya kita zahirkan biarlah dengan adab dan cara yang betul," katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada satu hantaran di Tik Tok oleh seorang pengguna yang memperdengarkan Qunut Nazilah, berserta teks yang antara lain memohon ditimpakan bala laknat kepada Perdana Menteri, para menteri, dan penyokongnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan