AM > BERITA

PERSIDANGAN SULUNG USAHAWAN TEKNOLOGI APAC DI KUALA LUMPUR OGOS INI

13/07/2024 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Persidangan Pemerkasaan Keusahawanan Teknologi APAC (ATEC) 2024 julung kali akan diadakan pada 8 Ogos ini bagi memacu inovasi dan keusahawanan teknologi melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan industri.  

Pengerusi Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS) Lee Chean Chung berkata persidangan itu merupakan acara penting dalam menjadikan Malaysia sebagai hab menghubungkan usahawan teknologi tempatan dengan landskap keusahawanan teknologi serantau yang lebih luas, selain meletakkan Malaysia sebagai peneraju pasaran dan pempengaruh utama di rantau ini.

“Persidangan akan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan ekosistem yang kukuh untuk sains, teknologi dan inovasi selain sebagai platform bagi bertukar pengetahuan dan memperkasakan usahawan teknologi dengan memanfaatkan teknologi baharu serta meningkatkan pendedahan kepada industri serantau,” katanya pada sidang media ATEC 2024 hari ini.

Beliau berkata CROSS dan Pusat Penyelidikan Asia Tenggara untuk Kemanusiaan (SEARCH) berkerjasama dengan Wellous Group Limited (Wellous) dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan persidangan itu dengan sokongan MOSTI. 

Antara agensi terlibat dalam penganjuran persidangan itu ialah NanoMalaysia Berhad, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) dan Cradle Fund Sdn Bhd (CRADLE).

Lee berkata persidangan itu juga bertujuan memupuk dan mempromosikan usahawan teknologi, kerjasama dalam memacu inovasi teknologi serta menyokong pembangunan usahawan teknologi di Asia Pasifik.

Beliau berkata Malaysia-China Kuantan International Logistics Park Development Sdn Bhd (MCKILP) turut menjadi rakan strategik bagi ATEC 2924, menekankan kepentingan kerjasama awam-swasta dalam memacu pembangunan sosioekonomi dan memupuk ekosistem yang kondusif untuk usahawan teknologi melalui projek penyelidikan bersama, dialog tentang dasar, dan program pembinaan kapasiti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEARCH Ian Neo berkata ATEC 2024 memberikan ruang strategik kepada pakar dan pihak berkepentingan dari seluruh rantau ini untuk meneroka sinergi baharu dalam kalangan industri, selain memperoleh pengetahuan dan pandangan secara langsung daripada pelopor industri.

“Kami percaya terdapat banyak peluang yang belum diterokai yang boleh kita manfaatkan melalui persidangan ini,” katanya

ATEC 2024 akan menampilkan forum eksklusif yang tertumpu kepada empat bidang iaitu Ekonomi Angkasa, Bioekonomi, Ekonomi Tenaga Baharu dan Ekonomi Bakat Teknologi.

Dari Ogos hingga Oktober, tiga mesyuarat meja bulat dengan pihak berkepentingan akan diadakan yang menumpu kepada pembangunan industri utama dan sesi ini dikendalikan oleh MYSA, Bioeconomy Corporation, dan NanoMalaysia Berhad.

Orang ramai yang berminat menyertai ATEC 2024 boleh mendaftar melalui pautan http://t2u.asia/e/36457 atau hubungi  Sean di 017-243 6813 atau  Helen di 017-845 3827

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan