AM > BERITA

KERAJAAN BERSETUJU LAKSANA VOP

13/07/2024 08:27 PM

KUANTAN, 13 Julai (Bernama) -- Kerajaan bersetuju secara dasarnya untuk melaksanakan Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan susulan penyasaran subsidi diesel sekali gus memastikan projek siap tepat pada masanya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata keputusan yang diambil bagi meringankan beban kontraktor itu, sedang dalam proses perbincangan antara Kementerian Kewangan (MOF) dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Perbincangan dah bermula, insya-Allah...kita baru ada perbincangan minggu lepas, jadi bagi masa sikitlah. Kita faham semasa kita buat penyasaran subsidi diesel, mungkin ada sedikit kenaikan yang dirasakan oleh kontraktor untuk kos sedia ada.

“Bagi kontrak kerajaan, MOF sedang berbincang dengan KKR dan CIDB, kita akan perhalusi pelarasan VOP untuk diberi kepada kontrak yang sedia ada,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Transformasi G1: Cabaran Dan Hala Tuju Kontraktor G1 Dalam Menghadapi Era Masa Kini di sini hari ini. 

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menambahkan lagi bahan binaan yang termasuk dalam pelaksanaan VOP, Amir Hamzah berkata: “Kerajaan pada dasarnya, kalau kita nampak ada kenaikan yang boleh dijustifikasikan, kita akan bagi VOP tetapi perlu diperhalusi dan disahkan dengan CIDB.

“Kita tengok mana-mana bahan yang boleh dijustifikasikan. Kenapa ada kenaikan dan kalau ada kenaikan kita tengok kesan pada kontrak, kita tengok macam mana.” 

Media sebelum ini melaporkan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berharap VOP dapat dikembalikan semula bagi mengimbangi kenaikan kos binaan sekitar 30 peratus susulan tindakan memperkenalkan subsidi diesel bersasar. 

Ini kerana, kali terakhir kerajaan menambah 11 jenis bahan binaan dalam senarai VOP ialah pada 2022, antaranya simen, batu-bata dan dinding, kaca, batu baur, bahan siling serta bahan bumbung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan