KUANTAN, 7 Mei (Bernama) -- Piala Tunku Azizah sekali lagi bakal menjadi pentas menguji kehalusan seni dan kepakaran penenun dalam pertandingan Tenun Pahang Diraja menerusi penghasilan kain samping, kain tanjak dan kain bengkung.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah pertandingan yang dianjurkan buat kali kedua itu, menampilkan cabaran lebih istimewa apabila peserta diwajibkan menghasilkan ketiga-tiga produk tenun mengikut ukuran yang ditetapkan.
“Penyertaan dibuka kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas, sama ada secara individu atau berkumpulan yang tidak melebihi tiga orang.
“Pertandingan kali pertama tahun lepas berjaya menarik sebanyak 103 peserta dengan jumlah keseluruhan 206 produk dihasilkan,” titah baginda pada sidang media di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), di sini hari ini.
Tengku Ampuan Pahang bertitah Temasya Warisan Pahang yang berlangsung tahun lepas berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung, dan jumlah itu dijangka meningkat sekali ganda pada penganjuran kali kedua tahun ini.
Temasya berkenaan dijadual berlangsung dari 29 Ogos hingga 7 Sept ini bermula 10 pagi hingga 10 malam di MOCA.
Piala Tunku Azizah menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 berserta piala dan sijil kepada pemenang tempat pertama, RM20,000 (tempat kedua) dan RM10,000 (tempat ketiga).
Sementara itu, lima hadiah sagu hati dan enam anugerah The Queen’s Choice, masing-masing bernilai RM5,000 serta 12 hadiah penghargaan bernilai RM3,000 turut disediakan dengan setiap penerima akan mendapat piala dan sijil penyertaan.
Juri profesional pertandingan akan diketuai Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Borang penyertaan boleh diperoleh dengan menghubungi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Pahang melalui talian 09-538 5677 atau 09-538 4598, dan perlu dihantar sebelum 22 Mei ini, manakala tarikh penghantaran produk siap ditetapkan pada 15 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial