AM > BERITA

JELAJAH DI SABAH DIHARAP TARIK PENGUNJUNG KE MAHA 2024 DI MAEPS SEPTEMBER INI

15/07/2024 12:37 AM

SANDAKAN, 14 Julai (Bernama) -- Jelajah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan pertama kali di Sabah diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung Sabah ke MAHA 2024, yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), September nanti.

Ketua Sekretariat MAHA Zurihanmi Zakaria berkata jelajah Road to MAHA@Sabah bermula di Kota Kinabalu bermula semalam, diikuti ke Kota Belud, Kundasang, Telupid dan berakhir di Sandakan, hari ini.

"Kita sedia maklum Sabah negeri besar, sebab itu program Road to MAHA@Sabah, ini tidak hanya berpusat di Kota Kinabalu kita meluaskan jangkauan kepada penduduk mengikut daerah yang kita lalui bermula Kota Kinabalu hingga Sandakan, hampir separuh Sabah program ini diadakan.

“Saya yakin pengunjung dari Sabah ke MAHA di MAEPS nanti akan meningkat 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bersama warga Sandakan di Dataran Harbour Mall di sini hari ini.

Dalam pada Zurihanmi berkata program Road to MAHA di Sabah mencapai matlamat berdasarkan sambutan penduduk di setiap 'pit stop' jelajah program itu di Sabah terutama di Sandakan.

Sempena program malam ini, Mohamad menyampaikan replika cek program pemerkasaan usahawan peladang (Rise Up 2024) bernilai RM1.41 juta membabitkan 27 usahawan.

Turut disampaikan ialah replika cek bernilai RM824,337.10 bagi program pemilikan jentera kecil dan sederhana tahun 2024 melibatkan 211 usahawan, serta dana pembiayaan Agrobank RM1.7 juta membabitkan lapan usahawan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan