AM > BERITA

PBAPP LEPASKAN AIR SIMPANAN DARIPADA EMD

15/07/2024 12:52 PM

BUKIT MERTAJAM, 15 Julai (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melepaskan air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di sini untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air yang baik di seluruh negeri berikutan paras Sungai Muda dekat sini menurun selama empat hari berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K.Pathmamathan berkata kapasiti pelepasan maksimum EMD ialah 600 juta liter sehari (JLH) dan PBAPP telah mula melepaskan purata 41 MLD sejak Sabtu lepas bagi melengkapkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda.

"Paras Sungai Muda di bahagian Pulau Pinang telah menurun di bawah 2 meter (m) selama empat hari berturut-turut manakala aras Empangan Muda (Kedah) dilaporkan 16.6 peratus pada hari Jumaat lepas, berikutan itu PBAPP mengambil keputusan melepaskan air simpanan EMD.

"Air mentah dari EMD dan Sungai Muda disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua iaitu LRA terbesar dan terpenting di negeri ini, Air terawat daripada LRA itu dipam kepada kira-kira 465,000 pengguna di seluruh Seberang Perai serta di Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya di bahagian pulau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelepasan harian EMD memastikan LRA Sungai Dua terus mengeluarkan purata 1,026.59 JLH air terawat.

Pathmanathan berkata aras Sungai Muda di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang, dekat sini telah turun di bawah “paras selamat” 2m dan PBAPP telah mengabstrak purata 1,125.50 JLH air mentah dari Sungai Muda minggu lepas berbanding 1,196.13 JLH ketika keadaan normal.

Beliau berkata ketika keadaan normal, lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh PBAPP setiap hari datangnya dari Sungai Muda.

"Kapasiti efektif Empangan Muda 160 bilion liter (di Kedah) dilaporkan ialah 25.7 peratus dan ia merupakan satu daripada dua empangan di Kedah yang melepaskan air ke Sungai Muda untuk kegunaan Kedah dan Pulau Pinang manakala paras yang dilaporkan bagi Empangan Beris ialah 82.4 peratus pada Khamis serta kapasiti efektif maksimum empangan itu ialah 120 bilion liter," katanya.

Beliau berkata Kedah mempunyai pilihan untuk melepaskan lebih banyak air dari Empangan Beris bagi meningkatkan paras Sungai Muda dan langkah itu akan mengelakkan sebarang isu besar di 14 LRA di Kedah dan LRA Sungai Dua di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan