AM > BERITA

KERAJAAN AKAN SEGERAKAN CADANGAN AKTA SARAAN HAKIM SYARIE - PM ANWAR

15/07/2024 01:08 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi komitmen bahawa kerajaan akan menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memartabatkan status hakim Mahkamah Syariah di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu mendapat perhatian kerajaan kerana terdapat keperluan bagi mengimbangi antara Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dan Skim Perkhidmatan Kehakiman Sivil. 

“Saya dimaklumkan juga tentang Akta Saraan Hakim Syarie. Sekarang ini dia ikut dalam skim PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik). 

“Jadi insya-Allah, minta Dr Na’im (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar) menyegerakan untuk kita angkat supaya ada Akta Saraan Hakim Syarie, supaya (Hakim Syarie) ditingkatkan. Saya mudah sahaja, runding baik-baik dan selesai,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Skim Saraan Hakim Syarie adalah di bawah Skim PTD kerana hakim syarie merupakan pegawai perkhidmatan awam.

Anwar berkata cadangan pelaksanaan akta itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan tiada lagi pandangan yang merendahkan status hakim syarie. 

“Ia juga pasti akan memberi kekuatan dan keberanian kepada hakim syarie untuk mengaplikasikan perundangan dengan lebih berwibawa,” katanya.

Sementara itu Mohd Na’im berkata konvensyen yang julung kali diadakan itu bertujuan memperkasakan perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia serta memperhebatkan maslahah agama, negara dan ummah.

“Agenda memartabat perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia telah menjadi tonggak penting kepada Pelan Transformasi Al-Falah yang telah digerakkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai pelantar penambahbaikan pentadbiran hal ehwal Islam,” katanya.

Beliau berkata konvensyen itu juga merupakan langkah susulan bagi golongan ilmuan, ahli undang-undang termasuk para pentadbir untuk berkongsi pengetahuan, menganalisis isu-isu semasa serta memberikan usul dan cadangan ke arah memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah di negara ini.

“Mudah-mudahan dengan semangat muzakarah dan musyawarah, konvensyen ini akan mencapai keputusan bermakna dan menghasilkan langkah praktikal untuk meningkatkan sistem perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan