AM > BERITA

JAHEAIK LUPUS 77 TAN METRIK ABU AL-QURAN SEJAK 2015

15/07/2024 03:52 PM

KOTA BHARU, 15 Julai (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah melupuskan 77 tan metrik abu naskhah al-Quran sejak 2015 sehingga kini di perairan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata kebanyakan naskhah al-Quran yang dilupuskan itu merupakan naskhah lama selain telah rosak akibat banjir.

Beliau berkata setakat ini pendekatan diambil bagi melupuskan bahan itu menerusi kaedah membakar menggunakan insinerator pembakaran al-Quran di JAHEAIK untuk dijadikan abu sebelum dikumpulkan bagi dilepaskan ke laut.

“Pelupusan al-Quran ini dilaksanakan menerusi Program Pemuliaan Abu Al-Quran yang dilaksanakan oleh JAHEAIK berikutan tuntutan masyarakat untuk melupuskannya dengan bersebab termasuk telah rosak dan tidak dapat digunakan.

“Khidmat ini disediakan secara percuma. Sekiranya masyarakat mempunyai al-Quran yang rosak dan tidak dapat digunakan lagi, mereka boleh membawa ke masjid berdekatan atau pejabat agama jajahan di kawasan masing-masing untuk dikumpulkan sebelum dibawa ke JAHEAIK,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Program Pemuliaan Abu Al-Quran Bersama Penenggelaman Kapal Nelayan Bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan di Perairan Kuala Besar di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Asri melepaskan 2.07 tan metrik abu naskhah al-Quran ke dalam laut pada kedalaman 21 meter dan menenggelamkan tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak oleh mahkamah sejak tahun lepas membabitkan nilai RM1.2 juta.

Menurut Mohd Asri mengikut fatwa Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada Disember 2006, debu al-Quran yang telah dibakar hendaklah ditanam atau dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalir airnya.

“Mengikut fatwa itu juga abu berkenaan perlu dibuang sekurang-kurangnya pada jarak melebihi lima batu nautika dari daratan.

"Pada hari ini kita melupuskan abu al-Quran berkenaan mengikut jarak fatwa yang ditetapkan sekali gus memelihara kesucian al-Quran dengan sebaik-baiknya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan