BALING, 28 Jun (Bernama) -- Projek pembinaan Empangan Sabo di Sungai Kupang dekat sini yang bernilai lebih RM22.80 juta dijangka siap lebih awal daripada jadual sekali gus mampu mengurangkan risiko bencana banjir aliran puing yang mengancam keselamatan kira-kira 5,000 penduduk Pekan Baling.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini, projek itu telah mencapai kemajuan 62 peratus berbanding 20 dalam jadual asal dan mendahului jadual sebanyak 42 peratus.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah itu berkata pihak kontraktor turut memberi jaminan bahawa projek tersebut akan disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi berbanding jadual asal pada hujung tahun depan.
“Kalau ikut jadual, kontraktor perlu siapkan 20 peratus setakat hari ini tetapi mereka dah pecut pergi ke 62 peratus... jarang perkembangan projek boleh mencapai tahap ini.
“Jadi kita ucap terima kasih (kepada kontraktor) kerana risiko tanah runtuh dan aliran puing ini membawa sisa pokok, bongkah batu, pasir dan lumpur dari hulu sungai dan ini menyebabkan bencana banjir puing,” katanya kepada pemberita semasa melawat tapak projek itu hari ini.
Saifuddin Nasution juga berkata projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah Baling pula telah mencapai kemajuan 12 peratus bagi Fasa 1 dan 3.68 peratus bagi Fasa 2 setakat ini.
Beliau berkata projek RTB itu sangat penting kerana akan memanfaatkan 5,000 penduduk Pekan Baling yang berdepan bencana banjir yang terlalu kerap sebelum ini.
“Tahun 2024, daerah Baling menghadapi 17 insiden banjir manakala pada 2023 cuma 10 kali… ini data Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Ekoran daripada itu, Kerajaan Persekutuan respons terhadap masalah ini dan dua projek iaitu RTB Baling Fasa 1 dan RTB Baling Fasa 2 khusus untuk mengurangkan bencana banjir,” katanya.
Saifuddin berkata projek RTB Baling Fasa 1 membabitkan kos lebih RM9.6 juta dan dijangka siap pada November tahun depan sementara projek RTB Baling Fasa 2 membabitkan kos lebih RM118 juta dan dijangka siap pada Januari 2029.
“Kerajaan Persekutuan yakin dua projek RTB ini akan memberi manfaat besar terutama kepada 5,000 penduduk Pekan Baling. Manfaatnya apa? Kurang risiko banjir, kurang risiko kemusnahan harta benda dan mengurangkan risiko kehilangan nyawa,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata beliau turut mengadakan lawatan di tapak projek pembinaan 17 unit rumah ganti dan kemudahan awam bagi mangsa banjir aliran puing di Kampung Iboi pada 4 Julai 2022.
Beliau berkata projek bernilai RM3 juta itu telah mencapai kemajuan sebanyak 95 peratus dan ketika ini, kerja-kerja yang tinggal adalah penyediaan utiliti di kediaman terbabit.
“Itupun dijangka siap pada minggu ketiga Julai ini dan bila ia selesai, kita akan menyerahkan rumah kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Bencana banjir aliran puing pada 4 Julai 2022 itu menyaksikan tiga beranak terkorban, 12 rumah rosak teruk atau musnah dihanyutkan arus deras manakala 17 lagi mengalami kerosakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial